AM

PENGHANTARAN PASUKAN MALBATT 850-12 BERMULA 6 NOV INI- MOHAMED KHALED

30/10/2024 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Penghantaran dan penugasan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di selatan Lubnan bagi misi pengaman akan diteruskan, dengan pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan berlepas secara berperingkat mulai 6 hingga 18 Nov ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan tersebut diambil setelah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melalui Markas Angkatan Bersama, menerima makluman bahawa Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) telah menetapkan tarikh pertukaran bagi semua pasukan UNIFIL, termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang kini beroperasi di selatan Lubnan.

"Penerimaan pasukan MALBATT 850-11 secara berperingkat dari 7 hingga 19 Nov ini.

"Pasukan MALBATT 850-12 akan meneruskan tugas dan tanggungjawab Pasukan MALBATT 850-11 di bawah panji-panji serta mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagaimana protokol dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pasukan UNIFIL," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan MALBATT 850-11 atas prestasi cemerlang mereka sepanjang menjalankan tugas di kawasan tanggungjawab, dan berharap pasukan MALBATT 850-12 dapat meneruskan kecemerlangan tersebut.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan