AM

PPR DITAMBAH BAIK, SEDIA PERUMAHAN MAMPU MILIK LEBIH KONDUSIF

30/10/2024 05:10 PM

PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan menambah baik Program Perumahan Rakyat (PPR) menerusi pelaksanaan Program Residensi Rakyat (PRR) bagi menyediakan perumahan mampu milik yang lebih kondusif kepada rakyat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata PRR baharu yang bakal dibina bermula tahun hadapan akan memberi penekanan kepada aspek kesalinghubungan, kebolehcapaian, kemampanan, berdaya huni dan pergerakan dengan kemudahan awam.

"PPR merupakan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1995. Tahun depan genaplah 30 tahun, maka sudah sampai masa kita naik taraf.

"Penjenamaan semula program ini juga diharap mampu membantu mengurangkan stigma dan persepsi negatif masyarakat ke atas komuniti PPR sedia ada serta meningkatkan imej program perumahan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Kebenaran Merancang bagi PRR Harmoni Madani Bestari Jaya, di sini hari ini. 

Nga berkata PRR di kawasan bandar akan dibuka untuk disewa manakala pembangunan PRR di kawasan pinggir bandar termasuk luar bandar boleh dipertimbangkan bagi tujuan pemilikan.

Beliau berkata keluasan lantai kasar minimum bagi PRR ditetapkan pada 750 kaki persegi dengan harga jualan bermula RM60,000 seunit dan kadar sewaan bermula RM250 sebulan. 

"Peningkatan harga jualan sebanyak RM15,000 daripada ketetapan dasar penjualan rumah PPR sedia ada iaitu RM45,000, bertujuan untuk menampung kos penyelenggaraan dan memastikan elemen penambahbaikan dalam spesifikasi bersepadu akan diselia lebih kerap.

"Budaya ini akan membentuk sikap kebersamaan peserta di perumahan PRR supaya menghargai kemudahan dan harta bersama untuk kelestarian hidup di perumahan berkenaan," katanya.

Nga berkata antara penambahbaikan yang akan ditampilkan PRR termasuk ruang komuniti, kawalan akses di pintu masuk dan lif, penggunaan teknologi tenaga solar serta reka bentuk rumah yang lebih kondusif.

Dalam pada itu, Nga berkata kerajaan menerusi KPKT bersetuju dengan cadangan pembangunan projek PRR Harmoni Madani Bestari Jaya di Tanjung Karang, Selangor bagi menyelesaikan masalah perumahan yang dihadapi 245 keluarga pekerja ladang di kawasan tersebut.

Beliau berkata kos keseluruhan bagi projek itu dianggarkan berjumlah RM75 juta meliputi peruntukan RM40 juta daripada kerajaan Persekutuan dan RM35 juta daripada kerajaan negeri Selangor.

Katanya projek PRR yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 20 ekar itu akan diberikan secara percuma kepada kesemua keluarga terlibat oleh Berjaya Corporation Berhad (BCB).

"KPKT bersama dengan kerajaan negeri Selangor akan memastikan projek ini dapat direalisasikan dengan jangkaan mula pembinaan pada awal tahun hadapan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2026," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan