EKONOMI

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN KETIDAKTENTUAN PILIHAN RAYA AS

30/10/2024 07:32 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini seiring dengan prestasi pasaran serantau ketika pilihan raya Amerika Syarikat semakin menghampiri dengan pungutan suara menunjukkan persaingan yang sangat sengit. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 13.20 mata atau 0.82 peratus kepada 1,601.88 daripada paras penutup 1,615.08 pada Selasa. 

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 0.18 mata kepada 1,614.90 dan bergerak antara paras 1,601.45 dan 1,615.36 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 671 berbanding 363, manakala 474 kaunter tidak berubah, 984 tidak diniagakan dan 123 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.52 bilion unit bernilai RM2.96 bilion daripada 2.48 bilion unit bernilai RM2.26 bilion pada Selasa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, walaupun terdapat berita korporat yang positif daripada gergasi teknologi di AS, ia masih tidak mencukupi untuk memberikan hala tuju yang jelas di tengah-tengah ketidaktentuan berhubung keputusan pilihan raya dan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed).

Para peniaga juga mengambil pendekatan berhati-hati sementara menunggu data lanjutan keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS lewat hari ini, keputusan dasar monetari Bank of Japan pada Khamis dan mesyuarat badan perundangan tertinggi China pada 4-8 Nov, yang mungkin mengumumkan rangsangan fiskal selanjutnya.

“Namun begitu, kami menganggap penjualan hari ini memberi peluang untuk membeli saham berharga rendah dalam pasaran tempatan memandangkan penilaian rendah ekuiti Malaysia terutamanya saham mewah kerana asasnya kekal kukuh.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran berada dalam jajaran 1,600-1,615 menjelang hujung minggu,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi pandangan yang sama, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata memandangkan penurunan FBM KLCI lebih 50 mata pada bulan lalu, aktiviti membeli saham berharga murah dijangka berlaku yang bakal memberi sokongan kepada pasaran.

Beliau berkata prestasi lengang hari ini juga mungkin disebabkan pelabur memegang pegangan berikutan cuti umum esok sempena sambutan perayaan Deepavali.

Maxis menerajui saham rugi dalam kalangan saham wajaran tinggi, turun 18 sen kepada RM3.62.

Sime Darby susut 13 sen kepada RM2.32, SD Guthrie turun 11 sen kepada RM4.60, CIMB jatuh 10 sen kepada RM7.99 dan Public Bank berkurangan empat sen kepada RM4.42.

Dalam kalangan kaunter cergas, Pegasus Heights ditutup rendah turun setengah sen kepada setengah sen, TWL tidak berubah pada 2.5 sen, MyEG susut tiga sen kepada 83.5 sen, Northeast Group jatuh 1.5 sen kepada 66 sen manakala Niche Capital meningkat 1.5 sen kepada 20 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 76.72 mata kepada 12,103.23, Indeks FBMT 100 turun 75.23 mata kepada 11,814.10 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 86.21 mata kepada 12,062.16.

Indeks FBM 70 turun 30.63 mata kepada 17,602.87 dan Indeks ACE FBM berkurang 26.63 mata kepada 5,005.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 72.27 mata kepada 19,086.68, Indeks Perladangan turun 81.57 mata kepada 7,253.77, Indeks Tenaga berkurangan 0.71 mata kepada 835.25, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.78 mata kepada 174.17.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.46 bilion unit bernilai RM2.70 bilion daripada 1.34 bilion unit bernilai RM2.0 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 622.42 juta unit bernilai RM105.06 juta daripada 668.37 juta unit bernilai RM107.01 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 434.67 juta unit bernilai RM158.01 juta berbanding 447.69 juta unit bernilai RM151.19 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 195.66 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (216.80 juta), pembinaan (105.36 juta), teknologi (160.24 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (116.36 juta), hartanah (361.76 juta), perladangan (38.53 juta), REITs (15.91 juta), dana tertutup (117,300), tenaga (72.18 juta), penjagaan kesihatan (45.53 juta), telekomunikasi dan media (26.87 juta), pengangkutan dan logistik (25.24 juta), utiliti (76.71 juta) dan amanah perniagaan (9,800).

-- BERNAMA   

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan