KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- YTL Power International Bhd hari ini menjelaskan pihaknya telah diberikan projek 1Bestarinet melalui proses tender terbuka, dan menepis tuduhan salah laku.
Syarikat utiliti elektrik itu memaklumkan tender tersebut diberikan apabila bidaan pihaknya adalah yang paling mematuhi teknikal dan efektif dari segi kos berbanding kalangan 18 pembida, menunjukkan keupayaan dan merit syarikat.
“Kami ingin menjelaskan kami telah melaksanakan kewajipan kontrak kami terhadap kerajaan dengan tekun sejak projek itu dimulakan.
“Sepanjang pengetahuan kami, kami tidak melanggar mana-mana terma kontrak atau melanggar mana-mana undang-undang,” jelasnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu.
YTL Power menjelaskan anak syarikat 60 peratus miliknya, YTL Communications Sdn Bhd akan terus memberikan kerjasama penuh kepada SPRM yang menjalankan siasatan berkaitan perkara itu.
-- BERNAMA