AM

SYARAT BAHARU PERMOHONAN S-MM2H BERKUAT KUASA 1 JAN DEPAN - ABDUL KARIM

31/10/2024 05:12 PM

KUCHING, 31 Okt (Bernama) -- Permohonan untuk program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) perlu mematuhi syarat baharu bermula 1 Jan depan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata antara syarat itu ialah pemohon mesti berusia 30 tahun ke atas dan terdiri rakyat dari negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia. 

“Wajib membuka akaun deposit tetap dengan mana-mana bank tempatan di Sarawak dengan jumlah diperlukan ialah RM500,000 bagi setiap permohonan termasuk pasangan dan tanggungan.

“Semua pemegang pas S-MM2H juga perlu menetap sekurang-kurangnya 30 hari setahun di Sarawak sebagai antara syarat untuk permohonan lanjutan atau pembaharuan visa. Tempoh sah pas S-MM2H kekal lima tahun dan peserta boleh memperbaharu permohonan mereka untuk lima tahun lagi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sejak MTCP mengambil alih program S-MM2H daripada Jabatan Imigresen Sarawak pada 2020 seramai 1,462 peserta telah mendapat kelulusan di bawah Jawatankuasa Panel MTCP.

“Jumlah keseluruhan peserta S-MM2H meningkat sebanyak 22.90 peratus daripada 441 pada 2022 kepada 542 pada 2023,” katanya.

Sepuluh negara yang menyertai program itu ialah China dengan 391 peserta, United Kingdom (350), Taiwan (262), Hong Kong (255), Amerika Syarikat (210), Singapura (207), Korea Selatan (178), Jepun (138), Australia (121) dan Indonesia (117).

Abdul Karim berkata maklumat lanjut mengenai permohonan S-MM2H boleh diperoleh dengan melayari laman web kementerian di https://mtcp.sarawak.gov.my

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan