AM

HPMP PERINGKAT 1 : BERJAYA KURANGKAN PENGGUNAAN HCFC SEBANYAK 70 PERATUS - NRES

01/11/2024 01:35 PM

PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Malaysia berjaya mengurangkan penggunaan hidroklorofluorokarbon (HCFC) sebanyak 70 peratus berbanding sasaran asal 43 peratus, menerusi pelaksanaan Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC (HPMP) Peringkat 1, kata Ketua‬‭ Setiausaha‬‭ Kementerian‬‭ Sumber‬‭ Asli‬ dan‬‭ Kelestarian‬‭ Alam‬‭ (NRES) Datuk‬‭ Dr Kim Ching‬‭ Thoo‬‭.

Beliau berkata perkara itu telah disampaikan semasa mewakili Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad ke mesyuarat Parti-Parti kepada Konvensyen Vienna kali ke-13 (COP13) dan Mesyuarat Parti Protokol Montreal ke-36 (MOP36), yang diadakan selama dua hari di Bangkok bermula semalam.

“Malaysia‬‭ turut‬ menyasarkan‬‭ penghapusan‬‭ penuh‬‭ penggunaan‬‭ HCFC‬‭ dapat‬‭ dicapai‬‭ menjelang‬ 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kim berkata Malaysia turut memaklumkan pada mesyuarat tentang Pelan Pelaksanaan Kigali (KIP) yang telah diperkenalkan pada awal tahun ini,  bertujuan‬‭ mengawal selia‬‭ pengimportan‬‭ dan‬‭ pengeksportan‬‭ hidrofluorokarbon‬‭ (HFC).‬‭

Beliau berkata Malaysia telah‬‭ menyeru‬‭ anggota mesyuarat agar‬‭ sokongan‬‭ teknikal,‬‭ kewangan‬‭ dan‬‭ pembangunan‬‭ kapasiti‭ kepada‬‭ negara‬‭ membangun‬‭ termasuk‬‭ Malaysia, dapat‬‭ diteruskan‬‭ bagi‬‭ memastikan‭ pelaksanaan berterusan obligasi di bawah Protokol Montreal.

Pada mesyuarat itu juga, Kim berkata beliau telah mengadakan‬ perbincangan‬‭ dua‬‭ hala‬‭ dengan‬‭ wakil‬‭ Bank‬‭ Dunia‬‭ dan‬‭ Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi program alam sekitar (UNEP), membincangkan‬‭ peluang ‭ kerjasama‬‭ antara‬‭ kedua-dua‭ pihak dalam menyokong pelaksanaan Protokol Montreal.

Mesyuarat‬‭ COP‬‭ diadakan‬‭ setiap‬‭ tiga‬‭ tahun‬‭ sekali‬‭, manakala‬‭ MOP‬‭ merupakan‬ mesyuarat‬‭ tahunan‬‭ bagi‬‭ memuktamadkan‬‭ usul-usul‬‭ berkaitan‬‭ perlindungan‬‭ lapisan‬ ozon dan bahan pemusnah ozon (BPO), melibatkan penyertaan 198 negara yang menjadi parti‬‭ dan‬‭ bertanggungjawab‬ ‭ mengurangkan‬‭ atau‬‭ menghentikan‬‭ pengeluaran‬ serta penggunaan‬ BPO.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan