AM

KETUA MENTERI PULAU PINANG LAKUKAN LAWATAN KERJA KE MESIR, TURKIYE

01/11/2024 02:30 PM

GEORGE TOWN, 1 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Chow Kon Yeow memulakan lawatan kerja ke Mesir dan Turkiye bermula hari ini hingga 8 Nov.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan Chow akan menghadiri Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-12 di Kaherah dengan beliau dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Kedua mengenai Pembiayaan Pembangunan Bandar Mampan di forum berkenaan.

"Mesyuarat peringkat tinggi ini akan meletakkan asas untuk rangka kerja bagi penubuhan Dana Kebolehlaksanaan UN Habitat untuk penerimaan dana, Hab Pengetahuan mengenai Pembiayaan dan Rangka Kerja Dana Kebolehlaksanaan Kemudahan Pelaburan Bandar (CIF).

"Semasa persidangan ini, Ketua Menteri juga akan berkongsi pengalaman Pulau Pinang dalam pembiayaan projek awam kepada pemimpin kerajaan, perniagaan dan komuniti," menurut kenyataan itu.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang memaklumkan WUF yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2001 merupakan platform untuk membincangkan kepesatan perbandaran dan kesannya ke atas komuniti, bandar, ekonomi, perubahan iklim dan dasar.

Kenyataan itu turut memaklumkan lawatan Ketua Menteri ke Istanbul, Turkiye pula bagi meneroka pengurusan warisan budaya, pengangkutan awam dan saluran air serta meneroka potensi kerjasama dalam ekonomi kitaran.

"Chow akan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari bersama delegasi Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan Think City," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan