BAGHDAD, 2 Nov (Bernama-Xinhua) -- Kementerian Minyak Iraq pada Jumaat mengumumkan bahawa negara itu mengurangkan pengeluaran minyaknya kepada 3.3 juta tong sehari, selaras dengan komitmen terhadap perjanjian OPEC+ mengenai pengurangan pengeluaran, lapor Xinhua.
"Kami mengesahkan bahawa Iraq menurunkan pengeluaran minyak dan mengurangkan eksport kepada 3.3 juta tong sehari, serta mengehadkan penggunaan domestik," menurut kenyataan kementerian itu.
Menurut data rasmi, jumlah eksport harian minyak negara itu dianggarkan sekitar 3.43 juta tong pada awal tahun ini.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa pengurangan ini akan diteruskan dalam beberapa bulan akan datang bagi memastikan pengeluaran berada dalam kuota yang ditetapkan oleh OPEC+ dan bagi mengimbangi lebihan kuota yang dicapai pada bulan-bulan sebelumnya.
Kenyataan itu menekankan bahawa pengurangan pengeluaran dan eksport ini bertujuan untuk menyokong keseimbangan dan kestabilan pasaran minyak mentah global.
Ekonomi Iraq sangat bergantung pada eksport minyak mentah, yang menyumbang kira-kira 90 peratus daripada hasil negara.
-- BERNAMA-XINHUA