BUTTERWORTH, 2 Nov (Bernama) -- Kebocoran atau ketirisan subsidi yang disalurkan kerajaan kepada rakyat, harus ditangani menerusi bantuan maklumat dan data tepat yang diusahakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata jika isu ketirisan itu tidak diselesaikan, kerajaan akan terus menambah perbelanjaan untuk subsidi, tetapi tidak sampai kepada kumpulan sasar.
“Jumlah bantuan pertanian, jumlah bantuan yang disebut subsidi kepada rakyat dan jumlah peruntukan bagi rakyat miskin itu banyak sekali.
“Daripada kajian baru-baru ini, dalam beberapa persidangan termasuk Khazanah Megatrends Forum ternyata menurut kajian pakar-pakar ekonomi antarabangsa, Malaysia ini dengan hasil kutipan cukai yang paling rendah, taxbase yang paling rendah tetapi subsidi di antara tertinggi di Asia.
“Betul, baik beritanya subsidi tertinggi, tetapi tanpa dibantu dengan angka dan data yang baik, kita dapati banyak juga subsidi ini yang bocor dan ketirisan ini mesti ditangani,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Jubli Intan DOSM di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata DOSM memainkan peranan yang sangat kritikal dan strategik, serta perlu meningkatkan usaha dalam pengumpulan data rakyat serta melakukan langkah-langkah baharu.
Beliau berkata angka dan data yang diusahakan termasuk menerusi Pangkalan Data Utama (PADU), akan membantu kerajaan menangani ketirisan dan pertindihan dalam penyaluran bantuan dan subsidi kepada rakyat.
Anwar turut menekankan kepentingan dan integriti angka dan data yang diusahakan DOSM khususnya dalam membantu kerajaan membuat perancangan, unjuran ekonomi, pelaburan, kemiskinan dan menyalurkan bantuan kepada rakyat.
“Saya menunggu nanti supaya rumusan Banci Pertanian 2024 kerana ini, akan membantu kita dalam merangka Dasar Pertanian yang boleh menjamin keterjaminan makanan dan penghasilan serta jumlah petani, nelayan yang sebenarnya yang patut kita tangani permasalahan mereka,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kakitangan DOSM adalah antara jabatan yang harus diberi keutamaan, termasuk dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kepakaran dan keupayaan mereka, dalam pengumpulan data.
“Selama ini banyak jabatan dan kementerian bergantung kepada pakar-pakar luar, tak ada masalah sesekali mungkin, tetapi kadang-kadang dia jadi lembab, tidak melatih keupayaan dalaman.
“Negara ini tak boleh lagi memacu pertumbuhan, melakukan perubahan dengan kebergantungan kepada pakar-pakar luar. Sebab itu mereka harus belajar juga daripada pengalaman DOSM dan DOSM mampu memberikan hasil, angka-angka data bukan sahaja peringkat negara, kebangsaan, negeri dan sekarang sampai ke daerah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, juga memerlukan data yang dikumpul DOSM untuk dikongsi dengan negara-negara anggota berhubung prestasi negara ini, yang boleh dijadikan contoh dan teladan terbaik.
“Jadi mulai bulan November dan Disember ini, kerja lebih sedikit supaya laporan dan penjelasan kita, presentation kita untuk ASEAN ini juga termasuk daripada DOSM di antara yang terbaik di rantau kita. Jadi itu harapan saya kepada DOSM,” katanya.
-- BERNAMA