AM

KARNIVAL GEN-AI PLATFORM PUPUK SEMANGAT KEMASYARAKATAN BELIA

02/11/2024 04:03 PM

BUKIT MERTAJAM, 2 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) buat kali pertamanya menganjurkan Karnival Generasi Ada Idea (GEN-AI) sebagai platform mendekati dan memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan belia menerusi pelbagai aktiviti interaksi.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan karnival sehari yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di tapak parkir Gravitas, Jalan Baru Prai di sini dihadiri hampir 10,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Inisiatif itu bagi meningkatkan kesedaran dan kepekaan belia mengenai isu-isu semasa. Karnival tersebut juga menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berorientasikan kesejahteraan dan keceriaan.

"Antara yang menjadi tumpuan dalam karnival itu ialah Sesi Temu Anwar menyaksikan Perdana Menteri berinteraksi dengan belia," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelbagai soalan merangkumi isu-isu semasa termasuk keselamatan dalam talian, buli siber dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dikemukakan ketika sesi berkenaan.

MCMC memaklumkan turut diadakan, sesi perkongsian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), karnival kerjaya, sembang santai bersama artis dan pempengaruh serta konsert.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Datuk  Dr Mohamad Abdul Hamid,  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan  Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Seri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md  Isa dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim  Fateh Din.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan