KOTA KINABALU, Nov 2 (Bernama) -- Sabah merancang untuk membida sebagai tuan rumah bagi penganjuran Kongres Dunia Persekutuan Arkitek Landskap Antarabangsa (IFLA) pada 2031, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gundalam.
Bagi meneruskan matlamat ini, Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kementerian berkenaan serta Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) merancang untuk menyertai Kongres Dunia FLA 2025 di Perancis tahun depan.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa Sabah, berbekalkan sumber asli yang menakjubkan, kini boleh mempamerkan keindahannya kepada dunia sekali gus memanfaatkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri itu dalam proses tersebut.
Dr Joachim juga berkata Anugerah Arkitek Landskap Sabah adalah satu inisiatif strategik yang direka bagi mengiktiraf dan mempromosikan amalan landskap mampan.
Beliau berkata inisiatif itu selaras dengan matlamat yang digariskan oleh Pelan Tindakan Dasar Landskap Negeri Sabah khususnya di bawah teras kelima iaitu memupuk kecintaan terhadap landskap.
“Dengan meraikan keunggulan arkitek landskap yang mematuhi prinsip mampan, kami berhasrat untuk memberi inspirasi kepada golongan profesional dan orang ramai bagi memupuk penghargaan serta stewardship (tindakan mengurus dan menjaga sesuatu dengan penuh tanggungjawab serta prihatin) yang lebih mendalam terhadap landskap di Sabah,” katanya sambil menambah arkitek landskap yang luar biasa melangkaui tarikan estetik kerana ia merangkumi kelestarian, daya tahan dan rasa hormat mendalam terhadap alam semula jadi.
-- BERNAMA