AM

MELAKA USAHA AKTIFKAN SEMULA PENERBANGAN KE PEKAN BARU, PASARKAN PELANCONGAN KESIHATAN

02/11/2024 08:17 PM

MELAKA, 2 Nov (Bernama) -- Melaka sedang berusaha untuk mengaktifkan semula penerbangan ke Pekan Baru, Indonesia bagi memasarkan semula aktiviti pelancongan kesihatan, di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia berikutan sebanyak 82,941 pelancong kesihatan dari Indonesia, telah mendapatkan rawatan di Melaka pada tahun lepas.

“Ia merupakan potensi besar untuk syarikat-syarikat penerbangan membuka laluan penerbangan terus dari Indonesia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

“Menjengah ke hadapan, kerajaan negeri berhasrat mengalu-alukan sokongan dan kerjasama daripada kerajaan Persekutuan, terutamanya Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan untuk menjadikan LTAM ini sebagai pilihan utama untuk pesawat-pesawat ringan dan persendirian gunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 di LTAM, Batu Berendam di sini hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Sementara itu ketika ditemui pemberita Ab Rauf berkata Melaka berupaya menjadi hab penerbangan menghubungkan bahagian barat Indonesia dan Singapura.

“Terpulanglah kepada syarikat penerbangan tempatan untuk mengambil kesempatan ini untuk menjadi pengantara.

“Melaka boleh menjadi penghubung daripada Indonesia ke Melaka dan Melaka ke Singapura,” katanya.

Sebanyak 38 pesawat termasuk lapan pesawat milik badan beruniform, 11 pesawat kecil daripada kelab penerbangan, 13 paramotor, tiga ‘glider’ dan tiga ‘microlight’, menyertai acara tahunan itu yang bermula pada 31 Okt hingga 3 Nov.

Lebih 500 peserta dari seluruh negara selain Indonesia dan Singapura turut menyertai karnival tersebut, yang memasuki tahun kesembilan penganjurannya pada kali ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan