AM

KERAJAAN SENTIASA PANTAU KESELAMATAN, HUBUNGI PASUKAN MALBATT HAMPIR SETIAP HARI - ANWAR

04/11/2024 01:43 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa memantau keadaan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang sedang menjalankan misi pengaman di selatan Lubnan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak Kementerian Pertahanan juga berhubung dengan petugas di sana hampir setiap hari bagi memastikan keberadaan dan keselamatan semua anggota yang terlibat. 

“Kita terikat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) serta pendirian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan setakat ini Duta Besar (Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob) masih di Beirut memantau keadaan.

“Ada yang menggesa kita menarik balik (membawa pulang pasukan) tetapi pendirian kita bersama dengan UNIFIL, dan kita bawa keputusan bersama termasuk Indonesia dan Brunei,” katanya bagi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai pasukan pengaman pada sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata penukaran penggiliran pasukan MALBATT 850-12 pula dijadualkan berlangsung secara berperingkat mulai 6 hingga 18 Nov ini.

Sementara itu Anwar berkata Malaysia bersama 33 negara penyumbang anggota UNIFIL yang lain telah membuat kenyataan bersama diketuai Poland bagi mengecam tindakan serangan Israel di Lubnan.

“Negara kuasa besar pun dalam sejarah mutakhir tidak segila, sekejam, sezalim Israel seperti yang berlaku sekarang.

“Jarang dalam sejarah kita lihat (pihak) sanggup mengenepikan semua peraturan dunia, semua hukum dan undang-undang sehingga meyebabkan risiko ke atas petugas PBB di Lubnan,” katanya.

Justeru Malaysia tetap mempertahankan keperluan untuk meletakkan aggota UNIFIL bagi menjaga keselamatan di rantau yang bertelagah selama ini.

Selain Malaysia, 50 negara anggota PBB turut menyertai misi UNIFIL dengan jumlah anggota dan pegawai keseluruhan adalah 10,058 orang. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan