KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pemilik kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api NGV boleh memohon Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV bermula hari ini berikutan keputusan kerajaan tidak membenarkan kenderaan berkenaan didaftarkan atau dilesenkan dalam negara mulai Julai depan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata program bantuan itu terdiri daripada tiga pakej iaitu pakej bantuan peralihan kepada pemandu teksi NGV yang layak, pakej menanggalkan kit NGV dan pakej bantuan peralihan bagi kenderaan bahan api tunggal NGV.
Loke berkata program itu merupakan inisiatif PETRONAS NGV Sdn Bhd (PNGV) untuk kumpulan sasar yang terjejas iaitu pemandu kenderaan teksi NGV, pemilik kenderaan bahan api tunggal dan juga dwibahan api NGV.
"Bagi pakej pertama iaitu bantuan peralihan kepada pemandu teksi NGV, setiap pemandu berdaftar yang layak akan menerima bantuan dalam bentuk e-baucar sebanyak RM3,000 dan diberikan melalui aplikasi Setel secara one-off (sekali sahaja) dalam tempoh 15 ke 30 hari bekerja.
“Syarat kelayakan utama adalah pemandu teksi NGV mempunyai Kad Pemandu dan Permit Kenderaan yang sah dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan aktif untuk tempoh mulai 1 Jan sehingga 30 Sept 2024," katanya pada sidang media dasar penggunaan NGV negara.
Loke berkata bagi mengelak pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan, individu yang mendaftar sebagai pemandu teksi NGV selepas 30 Sept 2024 tidak layak menerima pakej berkenaan.
Bagi pakej kedua iaitu menanggalkan kit NGV terutama tangki daripada kenderaan yang diubah suai (dwibahan api) termasuk teksi, Loke berkata semua kos ditanggung sepenuhnya di bawah program berkenaan dan ia hanya boleh dilaksanakan di bengkel yang berdaftar.
Sementara itu, Loke berkata bagi pakej bantuan peralihan, ia menawarkan pembayaran secara sekali sahaja kepada pemilik kenderaan yang layak, berdasarkan nilai semasa kenderaan yang ditentukan oleh wakil penilai bebas.
Loke menjelaskan syarat kelayakan utama adalah kenderaan jenis bahan api tunggal NGV yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan aktif untuk tempoh mulai 1 Okt 2021 sehingga 30 Sept 2024.
"Pemilik yang menerima tawaran ini perlu menghantar kenderaan mereka ke Kemudahan Rawatan Automatif Berlesen (AATF) berlesen untuk dilupuskan dan membatalkan pendaftaran kenderaan dengan pihak JPJ," katanya.
Loke berkata ketetapan itu bagi mengelakkan salah guna dan ubah suai haram yang lebih membahayakan semua pihak kelak dan pembayaran pakej bantuan dilakukan dalam tempoh tiga hingga tujuh hari bekerja selepas penyerahan Certificate of Destruction (COD) serta slip pembatalan pendaftaran kenderaan (borang K1d) dibuat oleh wakil AATF.
Beliau berkata tarikh tutup permohonan bagi pakej pertama dan ketiga adalah pada 31 Dis ini sementara pakej kedua tamat pada 30 April tahun depan, manakala semakan kelayakan serta permohonan boleh dikemukakan melalui laman web www.peralihanngv.com bermula hari ini.
“Mulai 1 Julai 2025, semua maklumat pendaftaran kenderaan dwibahan api akan dipinda secara automatik kepada menggunakan bahan api petrol sahaja bagi mengelakkan ketirisan hasil kepada kerajaan dan supaya pemilik kenderaan terbabit dikenakan bayaran fi LKM mengikut kadar ditetapkan kepada suatu kelas kenderaan dikuasakan petrol sepenuhnya,” katanya.
Selain itu, Loke berkata bekalan runcit NGV di seluruh negara juga akan ditamatkan secara berperingkat bermula 1 Okt lepas dan menjelang suku tahun kedua 2025, tiada lagi bekalan runcit NGV dalam pasaran Malaysia.
-- BERNAMA