AM

JELAJAH SISWA HAWANA BERI PERSPEKTIF BAHARU INDUSTRI MEDIA KEPADA MAHASISWA

04/11/2024 05:40 PM

BANGI, 4 Nov (Bernama) -- Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa memberi pendedahan dan perspektif baharu kepada golongan belia mengenai kepentingan literasi media selain memahami cabaran dalam mendepani era digital.

Kebanyakan mahasiswa yang ditemu bual pada Jelajah HAWANA 2024 Zon Tengah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini meminta agar program itu diteruskan dengan skala lebih besar.

Bagi penuntut Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM Yasmin Mithali Ab Rahman, 21, program itu memberi perspektif baharu kepada beliau untuk mengadaptasi penggunaan teknologi terkini dalam menghasilkan kandungan berita serta informasi yang lebih menarik.  

“Sesi perkongsian ilmu memang best, banyak benda baharu yang dipelajari. Misalnya dalam aspek kamera telefon pintar, saya belajar tentang sudut kamera, resolusi, pengesetan kamera dan peralatan berkaitan.

“Saya lihat ilmu Mobile Journalism (MoJo) boleh dipraktik dan diperluas kepada golongan belia memandangkan landskap media sekarang banyak menggunakan aplikasi media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook untuk perkongsian maklumat,” katanya kepada Bernama selepas program itu di FSSK UKM di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024.

Hadir sama Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2024, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan agensi berita itu Sharifah Zaini Syed Zain serta Ketua Penyiaran TV dan Radio Bernama Mohd Shukri Ishak.

Penuntut tahun akhir Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Nur Syaheera Adi Azmin, 21, pula berkata ilmu baharu yang diperoleh menerusi program hari ini memberi nilai tambah untuk mempersiapkan dirinya bagi menceburi bidang kewartawanan sejurus tamat pengajian kelak.

“Ilmu media ini penting kerana saya lihat wartawan pada hari ini bukan sahaja perlu pandai menulis tetapi juga harus mahir menyunting video, menggunakan kamera dan sebagainya. Pendedahan sebeginilah yang diperlukan oleh wartawan generasi baharu khususnya dengan transisi teknologi yang begitu pantas,” katanya.

Turut senada rakannya Khairunnisa Raimy Kamaruddin, 22, yang berharap program di bawah Jelajah HAWANA 2024 seperti MoJo, semak fakta dan kesedaran siber dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkasakan ilmu tentang industri media dalam kalangan belia.

“Ilmu yang dikongsikan sangat bermanfaat dan saya yakin jika diperluas, ia dapat membantu golongan belia mendalami kemahiran literasi media ini,” katanya.

Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa Zon Tengah di FSSK itu membabitkan penyertaan lebih 300 mahasiswa antaranya dari UKM, UPM, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 

Antara pengisian program ialah Kursus MoJo kendalian wartawan Meja Digital Media Bernama Syed lylia Hariz Al-Qadri yang memberi pendedahan mengenai penggunaan peranti dan aplikasi terkini dalam pelaporan berita selain sesi semakan fakta serta laporan berita oleh Editor Mycheck Malaysia dan Unit Data Journalism Bernama Sakina Mohamed.

Program itu turut menyaksikan UKM, UPM, UM, UiTM Shah Alam, USIM, UIAM dan UPSI menerima set komputer serta televisyen bernilai RM20,000 sumbangan Kementerian Komunikasi yang disampaikan oleh Bernama selaku Sekretariat HAWANA.

Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa Zon Tengah hari ini merupakan penganjuran kali ketiga selepas Sarawak pada 25 Mei serta Sabah (25 Okt) dan ia akan diteruskan di Melaka (Zon Selatan), Terengganu (Zon Pantai Timur) dan Pulau Pinang (Zon Utara).

HAWANA 2024 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan