KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Sebanyak 190 syarikat pengeluar produk merokok dan rokok elektronik atau vape telah mendaftarkan produk mereka dengan Kementerian Kesihatan (KKM), demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata jumlah itu merangkumi 30 syarikat rokok, empat syarikat cerut, satu syarikat yang menjual cigarillos, lapan syarikat tembakau dan 147 syarikat vape yang telah membuat pendaftaran selaras dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Okt lepas.
“Dalam proses pendaftaran, butiran lengkap mengenai produk merokok termasuk kandungan bahan dan emisi yang dihasilkan perlu dikemukakan.
“Ini adalah sejajar dengan Artikel 9 dan 10 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) yang menekankan pentingnya pengawalan produk merokok.
“Mana-mana produk yang gagal memenuhi spesifikasi yang ditetapkan di bawah akta dan peraturan berkaitan tidak akan diberikan kelulusan untuk dijual,” katanya pada sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat.
Beliau menjawab usul yang dikemukakan oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai langkah tegas yang perlu diambil untuk mengawal industri vape di negara ini.
Dzulkefly berkata Akta 852 turut menetapkan larangan kepada pihak industri untuk menjual produk pod vape pakai buang berbentuk mainan atau makanan yang berpotensi menarik minat kanak-kanak atau remaja.
“ Semua produk merokok perlu dibungkus dalam kotak yang memaparkan amaran kesihatan bergambar yang baharu serta laman sesawang jomquit.moh.gov.my untuk menggalakkan perokok agar dapat bersama-sama mengambil inisiatif berhenti merokok,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sehingga semalam, KKM telah melaksanakan 3,191 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan sebanyak 56,517 premis telah dilawati.
“Setakat semalam, kita juga telah melaksanakan penguatkuasaan pendidikan sebanyak 72,024 kali, penguatkuasaan pendidikan ini tidak dikenakan kompaun tetapi memberikan pendidikan dari segi literasi kesihatan dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA