KUANTAN, 4 Nov (Bernama) -- Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 30 Okt lepas dan kali terakhir dilihat di Sekolah Menengah Kebangsaan Temin, Jerantut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut Mohd Azahari Mukesar berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Nur Farahana Abdullah, 17, pada 9.48 malam, Khamis lepas oleh bapa mangsa.
Beliau berkata remaja perempuan itu berkulit putih, mempunyai ketinggian dianggarkan 160 sentimeter dengan berat lebih kurang 50 kilogram dan kali terakhir dilihat berpakaian kemeja T bercorak belang hitam putih, berseluar panjang dan tudung hitam, berselipar serta menggalas beg sekolah.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut diminta tampil ke balai polis berdekatan," katanya dalam kenyataan malam ini.
Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pusat kawalan daerah lbu Pejabat Polis Daerah Jerantut di talian 09-2662222.
-- BERNAMA