MOSCOW, 5 Nov (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) –Hasrat calon presiden AS, Donald Trump untuk menamatkan konflik bersenjata di Ukraine menjadikan kemenangannya dalam pilihan raya yang akan datang lebih utama, kata ahli Bundestag dari parti sayap kanan Alternative for Germany (AfD), Steffen Kotre kepada Sputnik/RIA Novosti.
"Saya percaya bahawa Donald Trump lebih cenderung untuk menamatkan perang antara Ukraine dan Rusia. Beliau telah membuat kenyataan sedemikian.
“Trump nampaknya tidak terikat dengan 'deep state' seperti Parti Demokrat, yang membuatkan beliau kurang berminat untuk mengeruhkan hubungan antara Ukraine dan Rusia atau mengeksploitasi aset Ukraine bagi kepentingan syarikat-syarikat Amerika.
“Dengan keadaan ini, adalah wajar jika Trump menjadi presiden, walaupun sukar untuk meramalkan bagaimana beliau akan menguruskan pentadbiran negara," kata Kotre sebagai respons kepada pertanyaan bertulis daripada Sputnik/RIA Novosti.
Trump sebelum ini berjanji untuk menyelesaikan konflik Ukraine melalui rundingan dan kerap menyatakan keyakinannya untuk menyelesaikan konflik itu dalam tempoh sehari.
Namun, Rusia menganggap bahawa masalah ini terlalu kompleks untuk diselesaikan dengan begitu mudah. Selain itu, Trump berulang kali mengkritik pendekatan AS terhadap konflik di Ukraine, serta mengkritik Volodymyr Zelensky.
Pilihan raya presiden AS akan berlangsung pada Selasa. Parti Demokrat akan diwakili oleh Naib Presiden Kamala Harris, manakala Parti Republikan oleh bekas presiden Trump.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI