AM

FASA 1B LPB SABAH DIJANGKA SIAP DALAM TEMPOH LIMA TAHUN - NANTA

05/11/2024 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Fasa 1B Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dijangka siap dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Bagi Fasa 1B (LPB Sabah), ia belum bermula kerana perjanjian itu baru saja ditandatangani. Ketika ini, mereka (kontraktor atau syarikat yang menandatangani perjanjian projek pada awal September) sedang melakukan kerja awal, bukan pembinaan lagi.

“Mungkin mengambil masa kira-kira lima tahun untuk menyiapkan keseluruhan Fasa 1B LPB di Sabah mulai sekarang,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Jalan Se-Malaysia ke-12 dan Kongres Persekutuan Jalan Antarabangsa (IRF) Wilayah Asia Pasifik kelima di sini hari ini.

Fasa 1B telah dibahagikan kepada 19 daripada 35 pakej kerja untuk LPB Sabah Fasa 1, dengan skop melibatkan pembinaan jalan persekutuan baharu dari Kota Belud ke Kudat dan penambahbaikan jalan persekutuan dari Ranau ke Lahad Datu, meliputi jarak sepanjang 370 kilometer (km).

Mengenai Persidangan Jalan Se-Malaysia ke-12, Nanta dalam ucapannya berkata beliau menyokong tema persidangan iaitu Driving Innovation for Better Roads.

Beliau berkata tema itu selari dengan harapan kerajaan berhubung inovasi secara berterusan dan penggunaan teknologi dalam pelaksanaan kerja atau projek untuk penyampaian yang berkesan seperti terkandung dalam Dasar Pembinaan Kebangsaan 2030 (NCP2030).

Nanta berkata NCP2030 telah mengenal pasti beberapa langkah penting untuk mentransformasi sektor pembinaan boleh diaplikasikan dalam industri jalan raya antaranya elemen tadbir urus yang baik.

Beliau berkata elemen itu perlu menjadi asas pengurusan projek terutama dalam aspek keselamatan, kualiti dan produktiviti kerana perkara berkaitan tadbir urus sering menyebabkan kelewatan atau kegagalan projek.

“Sektor jalan raya juga perlu mengadaptasi inovasi dan teknologi kerana secara tradisinya ia agak perlahan dalam perkembangan teknologi,” katanya.

Beliau berkata peningkatan kemahiran serta latihan semula perlu dilaksanakan segera supaya penggiat industri dapat memenuhi keperluan dunia berteknologi tinggi dan beralih ke sistem kerja berasaskan Internet pelbagai benda (IoT) dan Big Data.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan