DUNIA

BRITAIN AKAN HARAMKAN MEROKOK DI TAMAN PERMAINAN, LUAR SEKOLAH DAN HOSPITAL

06/11/2024 12:08 AM

WASHINGTON, 5 Nov (Bernama-UPI) – Parti Buruh yang memerintah Britain membentangkan rang undang-undang penting di Parlimen pada Selasa yang jika diluluskan, akan melarang merokok di taman permainan kanak-kanak, di luar sekolah serta hospital, lapor United Press International (UPI).

Rang Undang-Undang Tembakau dan Vape memberikan kuasa kepada kerajaan untuk memperluaskan larangan sedia ada terhadap merokok di ruang tertutup ke beberapa kawasan terbuka bagi melindungi “kanak-kanak dan golongan yang paling rentan,” menurut Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial dalam satu kenyataan akhbar.

Bagaimanapun, cadangan awal untuk memasukkan kawasan luar dan sekitar premis hospitaliti di England, seperti ruang luar dan taman pub, bar, dan restoran, dikecualikan daripada rang undang-undang itu.

Langkah-langkah ini sebahagian cadangan menyeluruh untuk melindungi kesihatan awam, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan ekonomi  dengan menghapuskan merokok secara berperingkat, melarang sesiapa yang berusia 15 tahun atau lebih muda pada 2024 daripada membeli produk tembakau, dan mewujudkan generasi yang bebas sepenuhnya daripada “kitaran ketagihan dan akibat buruk daripadanya.”

Rang undang-undang ini menghidupkan semula rang undang-undang anti-merokok Kerajaan Konservatif sebelumnya di bawah Perdana Menteri Rishi Sunak, yang mana konsep generasi bebas asap rokok menjadi teras utama - tetapi gagal diluluskan di Parlimen sebelum pilihan raya umum Julai lepas, di mana beliau tewas.

Pengiklanan dan penajaan vape juga akan dilarang dan pihak berkuasa akan diberikan kuasa ke atas perisa, paparan dan pembungkusan semua jenis vape serta produk nikotin lain.

Peruncit yang didapati menjual vape kepada kanak-kanak bawah umur akan dikenakan denda $260 secara serta-merta. Undang-undang perlindungan alam sekitar yang berasingan akan melarang penjualan vape pakai buang bermula Jun.

Menurut Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial, undang-undang ini sebahagian agenda pembaharuan kerajaan untuk menumpukan kepada pencegahan penyakit berbanding rawatan selepas seseorang jatuh sakit, dengan “menangani  satu daripada faktor risiko terbesar yang mendorong kesihatan yang buruk.”

Merokok menyebabkan kira-kira 80,000 kematian setiap tahun di United Kingdom, memberikan tekanan besar kepada NHS dan memakan kos $4 bilion dalam janji temu, imbasan, dan pembedahan. Kos merokok kepada ekonomi lebih besar, dengan $23.4 bilion hilang dalam produktiviti setiap tahun kerana perokok satu pertiga lebih berkemungkinan tidak hadir bekerja akibat penyakit.

“Melainkan kita bertindak untuk membantu orang kekal sihat, gelombang peningkatan kesihatan yang buruk dalam masyarakat kita mengancam untuk membebani dan menjadikan NHS kita muflis. Mencegah itu adalah lebih baik daripada merawat,” kata Setiausaha Kesihatan Wes Streeting.

“Kerajaan ini mengambil tindakan berani untuk mewujudkan generasi pertama bebas asap rokok, mengekang kanak-kanak daripada terjerat dengan nikotin melalui vape, dan melindungi kanak-kanak serta golongan terdedah kepada bahaya asap rokok,” katanya.

Streeting memuji rang undang-undang itu sebagai “bersejarah” dan menyatakan ia akan menyelamatkan ribuan nyawa serta melindungi NHS.

“Dengan membina masyarakat yang sihat, kita juga akan membantu membina ekonomi yang sihat, dengan lebih sedikit orang yang tidak hadir bekerja kerana sakit.”

Menurut Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial, tembakau bertanggungjawab bagi satu daripada   empat kematian akibat kanser dan menyebabkan kematian sehingga dua pertiga daripada pengguna jangka panjangnya, dengan kematian akibat kanser meningkat sebanyak 17 peratus sejak 2003.

Tembakau juga meningkatkan risiko banyak penyakit utama sepanjang hayat, termasuk strok, diabetes, penyakit jantung, mati dalam kandungan, demensia, dan asma.

Kira-kira 1,400 kemasukan ke hospital setiap hari dan lebih 100 janji temu dengan doktor umum setiap jam adalah disebabkan oleh rokok.

Rang undang-undang itu disambut baik oleh pakar kesihatan awam dan badan amal perubatan.

“Kebanyakan perokok berharap mereka tidak pernah bermula, tetapi terperangkap oleh ketagihan. Asap rokok sekunder menyebabkan bahaya kepada kanak-kanak, wanita hamil dan golongan yang lemah daripada segi perubatan, jadi pengurangan ini adalah penting. Jika orang yang rentan boleh menghidu asap, mereka sedang menyedutnya,” kata Profesor Chris Whitty, Ketua Pegawai Perubatan England.

“Sebuah negara bebas asap rokok akan menghalang penyakit, kecacatan dan kematian pramatang untuk kanak-kanak yang lahir hari ini dan untuk orang ramai dalam jangka masa panjang. Merokok menyebabkan bahaya sepanjang hayat daripada mati dalam kandungan, asma pada kanak-kanak, kanser, serangan jantung hingga dimensia pramatang,” kata Whitty.

Menyambut baik larangan pengiklanan vape, Whitty menyifatkan pemasaran produk “bebas asap rokok” kepada kanak-kanak sebagai “amat tidak boleh diterima.”

Sekurang-kurangnya 25 peratus daripada kanak-kanak berusia 11 hingga 15 tahun berkata mereka  mencuba vape pada 2023.

Pengerusi Action on Smoking and Health, Prof. Nick Hopkinson berkata rang undang-undang itu memulakan “perjalanan ke arah mewujudkan sebuah negara di mana golongan muda tidak akan mula merokok dan boleh hidup bebas daripada kecacatan pramatang dan kematian yang disebabkan oleh industri tembakau.”

“UK akan terus menerajui dunia dalam undang-undang tembakau,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

“Kami menyambut baik penglibatan untuk melanjutkan undang-undang bebas asap rokok ke tempat-tempat luar dalam rang undang-undang itu. Adalah penting untuk mempunyai perdebatan tentang bagaimana kita akan melindungi kanak-kanak dan golongan terdedah kepada bahaya asap rokok sekunder,” kata Hopkinson.

Bagaimanapun, beliau berkata langkah utama seterusnya ialah kerajaan perlu menjelaskan bagaimana ia akan membantu enam  juta perokok di negara ini berhenti merokok. Hopkinson menyeru agar cukai dikenakan ke atas syarikat tembakau untuk memastikan sebarang pelan dibiayai dengan betul.

-- BERNAMA-UPI

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan