JENAYAH & MAHKAMAH

MAHKAMAH PERSEKUTUAN TOLAK PERMOHONAN PENGARAH RESORT UNTUK RAYUAN TERHADAP CTOS 

06/11/2024 04:30 PM

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan seorang ahli perniagaan wanita untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang telah membatalkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengkehendaki CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) membayarnya RM200,000 berhubung penarafan kredit tidak tepat.

Permohonan kebenaran pengarah resort Suriati Mohd Yusof, 43, ditolak panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

“Kami sebulat suara, bersetuju bahawa semua persoalan (undang-undang) yang dicadangkan tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Oleh itu, kami menolak permohonan dan pemohon perlu membayar kos RM30,000,” kata hakim Abang Iskandar pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Semasa prosiding hari ini, peguam Nizam Basir yang mewakili Suriati, memohon mahkamah supaya menentukan lima persoalan undang-undang, atas alasan ia berkaitan sama ada pelanggan mempunyai sebab tindakan terhadap agensi pelaporan kredit jika skor kredit terbukti tidak tepat atau mengelirukan.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili CTOS, membantah persoalan yang dikemukakan Nizam bukan baharu. 

Bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, pemohon perlu menunjukkan bahawa rayuan yang dicadangkan itu menimbulkan persoalan baharu dari aspek perundangan atau perlembagaan yang mempunyai kepentingan awam yang tidak pernah ditangani sebelum ini serta memerlukan hujah lanjut.

Pada Mac, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan CTOS membayar RM200,000 kepada wanita itu susulan penarafan kredit yang tidak tepat dan memutuskan bahawa CTOS telah melanggar kewajipan penjagaan kepada Suriati serta melangkaui fungsi ia didaftarkan.

Pada Julai, Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan membenarkan rayuan CTOS, memutuskan bahawa tiada kecuaian dan tiada pelanggaran kewajipan berkanun oleh agensi pelaporan kredit itu.

Mahkamah juga memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi Suriati ganti rugi adalah salah.

Suriati, yang pernah menjadi pengarah dan pemegang saham sebuah resort di Pulau Perhentian, Terengganu, menyaman CTOS atas dakwaan cuai dan melanggar kewajipan fidusiari dengan memberi penarafan kredit tidak tepat sehingga menyebabkannya mengalami kerugian secara peribadi dan dalam perniagaan, selain telah merosakkan reputasinya.

Pada Mei 2019, wanita itu mendapati permohonan pinjaman keretanya ditolak kerana laporan negatif daripada CTOS dan setelah disiasat, beliau mendapati bahawa CTOS telah merekodkan datanya secara tidak tepat yang membawa kepada penarafan kredit yang tidak baik.

-- BERNAMA


 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan