DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI SUSULAN KEPUTUSAN OPR

07/11/2024 10:34 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa dirangsang oleh hala tuju pelabur yang lebih jelas dalam pasaran susulan pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) semalam.

Semalam, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

BNM menekankan bahawa ekonomi global terus berkembang dalam persekitaran pasaran buruh yang berdaya tahan dan proses pemulihan secara berterusan dalam perdagangan global.

Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.05 mata kepada 1,639.22 daripada 1,634.17 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 1.97 mata lebih tinggi kepada 1,636.14.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 304 berbanding 113, manakala 276 kaunter tidak berubah, 1,713 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 209.75 juta unit bernilai RM143.12 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata keputusan BNM untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus memberi kejelasan kepada landskap pasaran tempatan.

“Selain itu, FBM KLCI ditutup lebih tinggi disebabkan oleh pembelian dan trend menaik baru-baru ini dalam FBM KLCI menunjukkan minat belian yang mungkin akan mencatatkan peningkatan bagi tempoh jangka pendek.

"Kami menjangkakan indeks penanda aras akan berada dalam aliran dalam julat 1,630 hingga 1,640 hari ini," katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing menambah 4.0 sen kepada RM10.64 dan RM14.42, CIMB Group naik 6.0 sen kepada RM8.26 dan IHH Healthcare melonjak 2.0 sen kepada RM7.28, bagaimanapun Public Bank merosot 1.0 sen kepada RM4.48.

Bagi kalangan kaunter paling aktif, Genetec Technology meningkat 6.0 sen kepada RM1.01, Globetronics Technology menokok 2.5 sen kepada 61.0 sen, 3Ren meningkat 1.5 sen kepada 41.0 sen, JCY International naik 1.0 sen kepada 45.0 sen manakala JAKS Resources tidak berubah pada 14.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 48.11 mata kepada 12,428.93, Indeks FBMT 100 naik 47.11 mata kepada 12,127.88 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 43.75 mata kepada 12,399.96, Indeks FBM 70 menokok 106.79 mata kepada 18,212.28 dan Indeks FBM ACE menambah 11.48 mata kepada 5,197.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 57.70 mata kepada 19,384.58, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menokok 0.48 mata kepada 175.96, Indeks Tenaga naik 4.99 mata kepada 841.18, Indeks Perladangan meningkat 29.92 mata kepada 7,641.86.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan