AM

BILIK BERITA FKPM BERI PENGALAMAN SEBENAR KEPADA MAHASISWA UITM

07/11/2024 02:05 PM

SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai rakan strategik Universiti Teknologi MARA (UiTM) berharap Bilik Berita Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM yang baru diwujudkan dapat memberi pengalaman sebenar dan pendedahan awal dalam dunia kewartawanan kepada mahasiswa.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata agensi berita itu telah menyumbang tiga komputer berprestasi tinggi, sebuah televisyen pintar, sebuah mesin pencetak, lapan meja dan lapan kerusi untuk Bilik Berita berkenaan.

“Bilik berita merupakan ruang utama dalam mana-mana syarikat media untuk melaksanakan tugasan harian. Jadi fakulti dalam bidang ini perlu ada bilik berita sebegini agar dapat melatih pelajar supaya dapat mempersiapkan diri sebelum terjun ke bidang kewartawanan.

“Kami menyumbang peralatan yang berprestasi inggi bagi memudahkan para pelajar menyiapkan tugasan dalam membuat carian, layout dan sebagainya, dengan bimbingan para pensyarah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Berita bersama dengan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni), UiTM Prof Dr Jamalunlaili Abdullah

Turut hadir ialah Dekan FKPM Prof Madya Dr Abd Rasid Abdul Rahman.

Terdahulu beliau hadir pada majlis Penutupan Festival Komunikasi dan Media (COMMED). Turut hadir adalah Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus, Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama Mohd Shukri Ishak dan Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali. 

Nur-ul Afida berkata Bernama akan terus menjalin kerjasama strategik dan erat bersama UiTM, melihat kepada pentingnya untuk kembali berbudi kepada institusi pengajian tinggi itu.

“Di bawah penubuhan Bernama, wartawan yang bekerja kebanyakannya dari UiTM, yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Teknologi Mara (ITM)... setiap tahun kita menerima pelatih dari ITM. 

“Saya melihat kerjasama dari 1970 itu membantu Bernama untuk berkembang maju, bukan sahaja dalam memberi latihan dan bimbingan, malah menyerap masuk menjadi warga Bernama,” katanya.

Sementara itu Koordinator Kewartawanan dan Penerbitan FKPM UiTM Khairun Nizam Mohammad Yusuff berkata penubuhan Bilik Berita itu bertujuan membawa pengalaman berada di bilik berita yang sebenar kepada para pelajar.

“Sebelum ini kita melihat tidak pernah ada persekitaran bilik berita yang teratus untuk pelajar merasai pengalaman di bilik berita. Walaupun tidaklah seratus peratus sama seperti di syarikat media, tapi setidak-tidaknya pelajar dapat pendedahan awal. 

“Melalui penubuhan bilik ini kita harap pelajar dapat bermotivasi dan berani mencuba. Bilik ini akan menjadi stesen kerja apabila habis kuliah untuk melakukan penyelidikan,” katanya.

Sementara itu pelajar FKPM semester empat Muhammad Aidi Syaffri Mohd Idham, 28, berkata penubuhan bilik itu dapat memanfaatkan pelajar untuk menyiapkan tugasan dengan peralatan lengkap.

“Kita berada di ‘fasa pantas’, dengan kemudahan fasiliti itu penting untuk para pelajar. Bila diberitahu tentang penubuhan itu, kami teruja sebab yang kita tahu bilik berita bawa aura bekerja di bidang kewartawanan yang sebenar,” katanya.

Rakannya Maria Madelina Kiri, 22, yang senada berharap dengan adanya kemudahan itu, ia akan menambah kemahiran serta pengetahuan baharu tentang kewartawanan yang semakin berevolusi ke arah pendigitalan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan