EKONOMI

ECOWORLD MALAYSIA METERAI PERJANJIAN PEMBELIAN TANAH DI SELANGOR UNTUK RM742.4 JUTA

07/11/2024 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia)  menandatangani beberapa perjanjian untuk membangunkan 10 bidang tanah pegangan bebas di Selangor, susulan penyertaannya dalam proses permintaan untuk cadangan (RFP) yang dimulakan oleh Boustead Properties Bhd (BProp).

Ini termasuk penyertaan anak syarikat 81 peratus miliknya, Mutiara Balau Sdn Bhd (MBSB) ke dalam dua perjanjian jual beli bersyarat (SSA) untuk memperoleh tanah seluas 342.87 hektar pada harga RM742.4 juta.

Baki 19 peratus dalam MBSB dimiliki oleh BProp.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, EcoWorld Malaysia berkata pembelian itu dijangka selesai pada separuh pertama 2025.

“Cadangan pembelian tanah itu akan dibangunkan menjadi pembangunan kediaman dan komersial bercampur dikenali sebagai Eco Forest 2.

“EcoWorld Malaysia dan BProp akan memastikan MBSB melantik Eco World Project Management Sdn Bhd (EWPM) iaitu anak syarikat milik penuh EcoWorld Malaysia, sebagai pengurus pembangunan bagi pembangunan yang dicadangkan itu,” katanya.

Menurut EcoWorld Malaysia, cadangan pembelian tanah tersebut akan membolehkan kumpulan menambah simpanan tanah kediaman di koridor Semenyih, Selangor.

 Seterusnya, kata syarikat itu, ia memanjangkan tempoh pembangunan bagi kawasan perbandaran sedia ada manakala cadangan pembangunan tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan EcoWorld Malaysia pada masa hadapan.

"Cadangan pembelian tanah berkenaan dijangka meningkatkan aset bersih kumpulan pada masa depan memandangkan potensi sumbangan keuntungan masa depan yang timbul adalah daripada cadangan pembangunan .

“Kesan pengambilan tanah yang dicadangkan dan cadangan pembangunan terhadap tahap gearan (tahap hutang) kumpulan akan bergantung kepada campuran pembiayaan akhirnya yang akan digunakan oleh kumpulan itu,” kata EcoWorld Malaysia.

Sementara itu, untuk mengawal selia hak sebagai pemegang saham MBSB dan merekodkan komitmen mereka untuk melanggan saham dalam syarikat itu (MBSB), EcoWorld Malaysia juga memeterai langganan serta perjanjian pemegang saham dengan BProp dan MBSB.

"Melalui perjanjian ini, EcoWorld Malaysia juga akan mempunyai peluang untuk bekerjasama dengan BProp. Pihak-pihak akan dapat memanfaatkan kekuatan dan kemampuan masing-masing, berusaha ke arah penyelesaian pembelian tanah dan pembangunan projek seterusnya," katanya.

-- BERNAMA

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan