AM

SUASANA PENTADBIRAN BAIK PERSEKUTUAN, NEGERI: PROJEK PEMBANGUNAN DI KEDAH BERJALAN LANCAR

07/11/2024 09:17 PM

SUNGAI PETANI, 7 Nov (Bernama) -- Projek-Projek pembangunan di Kedah ketika ini berjalan lancar hasil suasana pentadbiran yang semakin baik antara kerajaan pusat dan negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Suasana pentadbiran kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akhir-akhir ini berjalan lancar… semua projek pun berjalan lancar kerana di peringkat pegawai, perkara itu dapat diuruskan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Majlis Perbandaran di sini hari ini.

Muhammad Sanusi mengakui sebelum ini, banyak kenyataan dan ucapan beliau agak tegang serta telah mengguris perasaan pelbagai pihak dan berharap tindakannya pada masa lalu itu dapat dimaafkan.

"Saya pun dah beberapa kali buat kenyataan memohon maaf kepada semua pihak yang terguris dengan kenyataan saya sebelum ini. Saya harap dengan pendekatan baharu ini, lebih banyak kerjasama akan terjalin dan orang dah tak takut datang ke Kedah lagi," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan hasrat mana-mana syarikat yang berminat mengambil alih pengurusan pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) namun berharap pihak berkenaan tidak melakukan penipuan.

“Kalau ada kemampuan untuk selesai masalah, silakan. Kita harap dan berdoa dia ada kemampuan itu, jangan tipu… saya amat berharap agar ada sinar di hujung terowong untuk pasukan bola terutama membabitkan kebajikan para pemain," katanya.

Pemilik majoriti kelab Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dilapor berkata pemegang saham KDA FC tiada halangan untuk mempertimbang mana-mana tawaran yang munasabah demi kepentingan dan kelangsungan kelab itu.  

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan