AM

PROGRAM HOME GO GREEN DILANCAR, SUMBANG PAKAIAN TERPAKAI KEPADA GOLONGAN MEMERLUKAN

07/11/2024 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- HOME, sebuah syarikat francais pendidikan, melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbaharunya HOME Go Green, dengan mengumpul dan menyumbang pakaian terpakai kepada Pertubuhan Kebajikan Nur Ihsan.

HOME dalam kenyataan hari ini memaklumkan HOME Go Green bertujuan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan sambil menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat sebagai usaha menyokong inisiatif kebajikan dan kelestarian alam sekitar.

“Program HOME Go Green akan menjadi salah satu daripada inisiatif berterusan HOME dalam menyumbang kepada komuniti serta kelestarian alam sekitar.

“Melalui program ini, syarikat mengajak semua 165 cawangan HOME Terapi Matematik seluruh Malaysia dan masyarakat untuk turut serta menyumbang pakaian terpakai, yang secara tidak langsung akan turut memberi impak positif dalam memelihara alam sekitar,” menurut kenyataan itu.

Ketua Eksekutif HOME Faizal Abd Latip menyampaikan sumbangan tersebut yang diterima oleh wakil Pertubuhan Kebajikan Nur Ihsan di ibu pejabat HOME di Ipoh, Perak.

Dalam kenyataan sama, Faizal berkata melalui program HOME Go Green, pihaknya ingin menyokong bukan sahaja inisiatif kebajikan dan pendidikan tetapi juga mendorong seluruh warga HOME untuk lebih peka terhadap kepentingan pengurangan sisa dan pengurusan pakaian terpakai yang lebih baik.

“Sumbangan pakaian terpakai ini diharapkan dapat meringankan beban golongan yang memerlukan, sekali gus membantu menjaga alam sekitar,” katanya.

HOME adalah syarikat francais pendidikan yang memberi tumpuan kepada pengajaran matematik menggunakan konsep terapi, bagi membantu pelajar berusia seawal lima hingga 19 tahun.

Selain memajukan perniagaan, HOME juga komited dalam memberi kembali kepada masyarakat dan alam sekitar melalui inisiatif korporat yang bertanggungjawab di bawah jenama HOME Cakna, sebagai perintis dalam filantropi untuk membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan lestari.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan