JENAYAH & MAHKAMAH

FASHIONVALET: SPRM SELESAI RAKAM KETERANGAN PASANGAN PENGASAS HAMPIR LIMA JAM

08/11/2024 04:35 PM

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Proses merakam keterangan pasangan pengasas FashionValet Sdn Bhd yang terkait kes kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang disambung hari ini selesai setelah kira-kira lima jam.

Kenderaan yang membawa pasangan itu dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada 1.58 tengah hari. 

Turut kelihatan peguam pasangan itu Shaarvin Raaj Selva Kumar.

Terdahulu pasangan itu tiba di SPRM bagi merakam keterangan pada 9.14 pagi tadi, yang memasuki hari keempat proses rakaman keterangan.

Ia selepas SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata ia melibatkan transaksi yang dilakukan kepada  sebuah syarikat dikaitkan dengan pasangan pengasas FashionValet itu sejak 2018 hingga tahun lepas.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan