DUNIA

NIAGA HADAPAN EMAS DIJANGKA DIDAGANGKAN BERHATI-HATI MINGGU DEPAN

09/11/2024 11:26 AM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan secara berhati-hati pada minggu depan susulan pelabur menunggu butiran konkrit mengenai dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. 

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata bank-bank pusat di pasaran pesat membangun dijangka terus membeli emas semasa penurunan harga dengan pelabur Asia juga mengambil kesempatan ke atas harga yang lebih rendah sebagai perlindungan terhadap ketegangan perdagangan selain kemungkinan berlaku penyusutan mata wang tempatan.

"Kejelasan mengenai pengembangan fiskal dan strategi perdagangan dalam beberapa bulan yang akan datang boleh memberi pengaruh positif terhadap harga emas.

"Sementara itu, emas dijangka bergerak seiring dengan dolar AS yang bertindak sebagai proksi untuk penurunan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed), apabila data ekonomi yang lebih lemah akan menguntungkan emas.

"Jangkaan dagangan yang diunjurkan untuk emas adalah antara US$2,670 setiap auns troy dan US$2,730 setiap auns troy," katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta November 2024 ditutup lebih rendah kepada US$2,692.70 setiap auns troy daripada US$2,777.20 setiap auns troy minggu lalu manakala kontrak Disember 2024 susut kepada US$2,705.60 setiap auns troy daripada US$2,777.20 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak Januari 2025, Februari 2025 dan April 2025 juga menguncup kepada US$2,705.60 setiap auns troy daripada US$2,777.20 setiap auns troy minggu lepas.

Jumlah dagangan melonjak kepada 82 lot daripada 32 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 31 kontrak daripada lapan kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 7 Nov, 2024, harga emas fizikal berada pada US$2,692 setiap auns troy.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan