AM

LEBIH 3,200 SERTAI HARI KANAK-KANAK SEDUNIA, JULUNG KALI DISAMBUT DI SERI MUTIARA

09/11/2024 04:15 PM

GEORGE TOWN, 9 Nov (Bernama) -- Lebih 3,200 termasuk 2,000 kanak-kanak berusia seawal tiga hingga 17 tahun menyertai sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Pengerusi Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata program berkenaan mencatat sejarah tersendiri apabila julung kali diadakan di pekarangan kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Seri Mutiara.

Beliau berkata program berkenaan disertai pelajar daripada 115 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri ini selain penglibatan 300 kanak-kanak dari Pusat Perlindungan Kanak-kanak dan Pusat Aktiviti Kanak-kanak serta anak-anak kelainan upaya yang menerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Sambutan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti interaktif berteraskan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di samping bengkel kesenian serta yang paling menarik perhatian ialah taman kembara mini oleh Escape Penang untuk kanak-kanak meneroka keseronokan aktiviti mencabar.

"Kami berbesar hati apabila Tun Ahmad Fuzi sudi memberi keizinan kepada semua peserta, khususnya kanak-kanak untuk merasai pengalaman istimewa dan bermakna dalam meraikan hari kanak-kanak peringkat negeri di kediaman beliau," katanya.

Lim berkata Tun Ahmad Fuzi pernah berkongsi kisah waktu kecil beliau yang hanya mampu melihat kediaman rasmi berkenaan dari luar sambil menyimpan hasrat untuk melangkah masuk ke Seri Mutiara.

Beliau berkata siapa sangka beliau bukan sahaja berjaya melangkah masuk tetapi juga dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang dihormati dan disanjung tinggi oleh rakyat negeri ini.

"Malah, Tun (Ahmad Fuzi) juga berjiwa besar apabila telah membuka pintu Seri Mutiara buat kali pertama dalam sejarah negeri Pulau Pinang khusus untuk meraikan sambutan hari kanak-kanak bersama anak-anak negeri Pulau Pinang,” katanya pada majlis perasmian sambutan berkenaan di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Tun Ahmad Fuzi yang turut dihadiri isteri Toh Puan Khadijah, Pengarah JKM negeri Zakaria Taib dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Datuk Dr. Fazilah Shaik Alauddin.

Program berkenaan turut mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) melalui penyertaan kanak-kanak teramai dalam pembelajaran peranti defibrilator luaran automatik (AED).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan