AM

400 KELUARGA B40 TERIMA BANTUAN YBR

09/11/2024 04:22 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Nov (Bernama) -- Sebanyak 400 keluarga di Terengganu menerima sumbangan bakul makanan berjumlah RM60,000 dari Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Ahli Lembaga Pemegang YBR Faizah Ariffin berkata sumbangan sebanyak RM150 setiap keluarga itu diagihkan kepada golongan B40 termasuk fakir miskin dan ibu tunggal.

Beliau berkata bantuan yang diberikan berbentuk barangan keperluan asas termasuk beras, tepung gandum, minyak masak dan sebagainya.

"YBR prihatin dengan kekangan kewangan yang dihadapi golongan B40 dan berharap sumbangan dapat membantu keluarga yang memerlukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Faizah berkata setakat ini YBR telah memperuntukkan hampir RM600,000 kepada golongan yang memerlukan termasuk B40.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bagi menyalurkan sumbangan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

-- BERNAMA



© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan