AM

YAYASAN RYTHM SUMBANG RM150,000 UNTUK PERKASA PELAJAR SENI YANG BERPOTENSI

11/11/2024 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Yayasan RYTHM, inisiatif impak Kumpulan Qi, melancarkan persembahan tarian dan muzik tradisional di Temple of Fine Arts Malaysia yang dinamakan sebagai  KalaVriksha: The Tree of Time.

Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Seri Umayal Eswaran berkata acara itu bertujuan menyokong artis Malaysia yang berpotensi melalui pemberian biasiswa dan geran berjumlah RM150,000 untuk entiti seni sekali gus mengesahkan komitmennya dalam memupuk warisan budaya yang kaya dan masa depan industri kreatif negara.

“Apa yang kami ramalkan daripada acara ini ialah untuk melihat lebih ramai generasi muda menerima budaya mereka dan dapat mempersembahkannya di atas pentas.

"Ramai yang meminta bantuan kami. Terdapat juga kumpulan tempatan yang ingin mengadakan persembahan tetapi tidak mempunyai dana yang mencukupi. 

“Jadi, kami sedar bahawa ini adalah perkara yang harus kami bantu tetapi bukan sekadar memberi dana malah kami menekankan kepentingan untuk mewujudkan kesedaran kerana budaya masyarakat kita adalah pelbagai,” katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.

Beliau berkata ketika ini terdapat empat sekolah yang menjalinkan kerjasama dan mereka berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya lapan sekolah.

Umayal juga berkata biasiswa itu membantu pelajar Malaysia mencapai kecemerlangan dalam bidang seni visual, muzik, tarian, teater dan kesusasteraan serta mereka yang betul-betul meminati seni namun berdepan kekangan kewangan. 

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau menggalakkan semua orang agar memupuk persekitaran yang menyokong kerjasama dan inovasi artistik. 

“Ini bermakna mempromosikan program masing-masing secara aktif, berkongsi sumber dan memastikan platform kami terbuka untuk semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan