AM

FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA 2024 PERKUKUH IMEJ MALAYSIA SEBAGAI PUSAT KECEMERLANGAN INTELEKTUAL 

09/11/2024 07:09 PM

PUTRAJAYA, 9 Nov (Bernama) -- Festival Idea Putrajaya 2024 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada 27 hingga 29 Nov ini, bagi memartabatkan pendidikan tinggi dan memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat kecemerlangan wacana intelektual dan inovasi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata festival berkenaan akan menghimpunkan antaranya pakar, pembuat dasar, ahli akademik dan masyarakat umum dalam satu platform berprestij untuk membincangkan idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran semasa dihadapi negara dan dunia.

“Festival ini juga dianjurkan untuk mengembalikan kegemilangan budaya ilmu dan melahirkan masyarakat yang menghargai ilmu.

“Semua idea dan penyelidikan dibawa dan dikumpulkan dalam satu platform untuk dikongsikan kejayaan negara dengan masyarakat dunia dan merangka masa depan negara melalui The Malaysian Success Story dan mengangkat Putrajaya sebagai City of Ideas,” katanya pada majlis Jerayawara Festival Idea Putrajaya 2024 di sini hari ini.

Teks ucapan Zambry dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Zambry berkata festival berkenaan akan menggalakkan inovasi dan penyelesaian kreatif untuk menangani cabaran global, seperti ketidaksamaan ekonomi, pembangunan mampan dan perubahan iklim. 

“Inilah masa untuk menggerakkan perubahan besar sejajar dengan peranan Malaysia sebagai pemimpin dalam mencapai kesejahteraan dunia.

“Festival ini akan menjadi pemangkin inovasi bukan hanya memberi impak kepada Malaysia, tetapi juga pada peringkat global,” katanya.

Beliau berkata Festival Idea Putrajaya bakal menjadi titik permulaan kepada acara tahunan yang akan mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara berasaskan pengetahuan dan inovasi, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Ia juga akan menjadi platform untuk kita meneroka peluang baharu dalam bidang pendidikan, teknologi, dan ekonomi, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara,” katanya.

Ditemui pemberita selepas majlis itu, Zaini berkata KPT menyasarkan kehadiran 500,000 orang pada penganjuran kali pertama Festival Idea Putrajaya. 

“Kita akan bincang idea pembangunan selain mendengar kisah kejayaan daripada tokoh dalam bidang berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan