AM

MALAYSIA KETENGAH TUJUH BIDANG UTAMA PADA UNFCCC-COP29 - NIK NAZMI

09/11/2024 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membentangkan tujuh bidang utama pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC-COP29) yang akan berlangsung di Baku, Azerbaijan dari 11 hingga 22 Nov ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad yang akan mengetuai persidangan itu berkata Malaysia bersedia menangani transformasi, tanpa mengira apa jua halangan.

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan komuniti sejagat, melangkau batasan untuk mencapai matlamat kelestarian dan membina masa depan iklim yang berdaya tahan untuk semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tujuh bidang tumpuan utama itu ialah kewangan dan ekonomi; perdagangan dan industri; sumber asli, tenaga, teknologi dan inovasi; pembangunan lestari serta belia dan pemadanan.

Beliau berkata Malaysia bersedia untuk memperlihatkan komitmen dalam memperkukuh tindakan iklim sejagat dan kelestarian serantau menerusi Pavilion Malaysia yang bertemakan ‘Shift for Sustainability – Climate Action Now! 

Nik Nazmi berkata selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia bersedia untuk memainkan peranan utama dalam memajukan agenda iklim serantau dan global.

“Malaysia komited untuk memacu keterangkuman dan kelestarian, memperjuangkan naratif berfokuskan negara yang mengangkat suara serantau pada COP29," katanya.

Beliau berkata penyertaan Malaysia pada COP29 bermatlamat untuk mengukuhkan komitmennya terhadap ekonomi hijau seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025 dan untuk menyokong cadangan cukai karbon yang akan diperkenalkan pada 2026.

“Menerusi COP29, Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi utama bagi pelaburan hijau dengan menggalakkan dasar yang menyokong dan mengamalkan pendekatan kerjasama, seterusnya membuka peluang untuk pertumbuhan dan inovasi lestari.

"Sejak 2010, ekonomi hijau Malaysia telah menarik pelaburan lebih RM10 bilion dan mewujudkan 5,579 pekerjaan hijau menerusi Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS)," katanya.

Delegasi Malaysia pada COP29 akan disertai lebih 250 anggota termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat perniagaan, badan bukan kerajaan dan belia.

Pavilion Malaysia yang diterajui NRES dengan kerjasama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebagai agensi pelaksana, akan disokong oleh Tenaga Nasional Berhad, Petronas, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Maybank, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Kloth Cares serta De Carton.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan