EKONOMI

DP WORLD-SABAH PORTS BEKERJASAMA MELANCARKAN PERDAGANGAN MARITIM ASEAN

10/11/2024 11:31 AM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Sapangar Bay Container Port (SBCP), melalui sinergi dengan DP World Plc yang berpangkalan di Dubai dan Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB), bersedia berintegrasi ke dalam rangkaian global DP World bagi meningkatkan peranannya secara strategik dalam Asia Tenggara dan membolehkannya memanfaatkan kepesatan pertumbuhan eksport di rantau ini.

Perkongsian antara kedua-dua syarikat tersebut mencapai kejayaan baharu tahun ini dengan pemindahan pengurusan pelabuhan kepada DP World, yang dilaksanakan di bawah syarikat usaha sama DP World Sabah Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan DP World Asia Pasifik, Glen Hilton berkata SBCP akan menerima sambungan yang dipertingkatkan ke pelabuhan serantau dan antarabangsa, menjadikannya sebagai destinasi yang lebih menarik untuk pelaksanaan penghantaran secara langsung.

“SBCP memegang kedudukan strategik sebagai hab pemindahan penghantaran bagi wilayah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA), dengan kedudukan yang amat dekat dengan pasaran industri serta pengguna utama seperti China, Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan Australia .

“Melalui perkongsian ini, SBCP akan mempunyai akses yang lebih baik kepada rangkaian pelabuhan dan terminal kami, sekaligus, membantu mengurangkan kos, masa transit selain menyediakan opsyen penghantaran yang lebih dipercayai, seterusnya, menyumbang kepada kecekapan operasi dan daya saing,” katanya kepada Bernama.

Rangkaian DP World menghubungkan SBCP dengan pelabuhan serantau yang lebih kecil dalam wilayah BIMP-EAGA dan hab global yang lebih besar, memberikan akses ke laluan perkapalan global kepada pemilik kargo di Sabah, yang mana, kargo ini boleh dihubungkan terus kepada kapal di laluan kontena utama.

DP World dan SPSB telah mewujudkan perkongsian strategik pada 2019 bagi meneroka potensi SBCP sebagai hab serantau, bertujuan untuk meningkatkan ketersambungan darat dan pesisir laut di seluruh Sabah, ini akan mengurangkan kos dan masa transit termasuk meningkatkan standard prestasi dalam rantaian bekalan negeri.

Hilton menekankan perkongsian itu sejajar dengan rancangan pengembangan SBCP yang mahu menambah kapasiti pengendalian terminalnya kepada 1.25 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) menjelang 2026.

“Kami akan memperluaskan pengendalian kargo SBCP termasuk melonjakkan perdagangan melalui Sabah, yang akan menjana skala ekonomi bagi syarikat perkapalan dan pemilik kargo yang berkepentingan, selanjutnya, mengurangkan kos logistik di seluruh rantau ini,” katanya lagi.

Peningkatan yang dirancang pada keupayaan penyimpanan serta pengangkutan rantaian sejuk SBCP akan menyokong eksport produk perikanan, ia merupakan  penyumbang keluaran dalam negara kasar (KDNK) kedua terbesar Sabah pada 2022 dan produk pertanian, membantu industri ini mengakses pasaran antarabangsa dengan lebih lancar. 

Pertumbuhan ini sejajar dengan kekuatan ASEAN dalam eksport perikanan.

Pada 2020, negara anggota ASEAN menyumbang hampir 22 peratus daripada pengeluaran perikanan global.

Pada tahun berikutnya, angka eksport ASEAN bagi ikan, krustasea, moluska dan lain-lain invertebrata akuatik ke seluruh dunia mencecah US$13.7 bilion (US$1 = RM4.38).

Hilton ketika mengulas mengenai impak ke atas ekonomi Sabah menekankan bahawa negeri itu kini menghadapi kos logistik yang tinggi, sebahagiannya disebabkan oleh kemudahan talian penghantaran terus yang terhad dan skala ekonomi yang agak rendah.

“Sabah turut menghadapi cabaran logistik yang unik disebabkan bentuk muka buminya, kawasan tanah yang luas selain keadaan infrastruktur jalan rayanya. Memperluaskan kapasiti dan kecekapan pelabuhan boleh membantu menangani isu ini selain mengurangkan kos logistik,” katanya.

Katanya, penyelesaian rantaian bekalan bersambung DP World, yang memanfaatkan teknologi inovatif bagi meningkatkan keterlihatan kargo, membolehkan pembuatan keputusan berasaskan data dan meminimumkan gangguan dalam logistik.

“Teknologi ini memastikan barangan akan bergerak lancar di sepanjang koridor perdagangan kritikal. Sebagai sebahagian daripada perkongsian ini, DP World akan menggunakan rangkaian teknologi proprietarinya di seluruh rantaian bekalan logistik kontena Sabah, mengautomasikan proses seperti pengendalian dan penjejakan kontena.

“Pelaksanaan ini juga akan membolehkan pengumpulan serta analisis data masa nyata, menyokong penyelenggaraan berkala termasuk pengenalpastian kesesakan lebih awal bagi mengoptimumkan aliran kerja pelabuhan dan mengurangkan kelewatan operasi. Penyelesaian automasi serta kecerdasan buatan DP World akan membantu mengurangkan kesilapan dan meningkatkan ketepatan perancangan,” tambahnya.

Sinergi ini juga mencerminkan trend yang lebih luas di ASEAN, apabila pihak berkuasa Pulau Batam Indonesia baru-baru ini melancarkan penghantaran terus dari Pelabuhan Batu Ampar ke Guangzhou dan Shenzhen di China untuk meningkatkan perdagangan dua hala.

Perkhidmatan perkapalan langsung ini diperkenalkan melalui perkongsian antara Persero Batam, Agensi Konsesi Batam serta firma logistik perkapalan dari Hong Kong, SITC International Holdings.

Sementara itu, firma perundingan antarabangsa, McKinsey & Company melaporkan pertumbuhan KDNK pada suku kedua tahun ini menokok dalam empat daripada enam negara di rantau ini iaitu Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam, melangkaui pertumbuhan berbanding tiga suku sebelumnya.

 Laporan itu juga menyatakan momentum perdagangan di ASEAN kekal teguh menjelang suku kedua 2024, didorong oleh permintaan global yang mantap bagi bahan kimia dan komoditi serta kitaran teknologi yang meningkatkan permintaan untuk peranti elektronik dan pengguna.

Pertumbuhan eksport Malaysia naik lebih dua kali ganda berbanding 2.0 peratus yang dicatatkan semasa suku pertama kepada 5.8 peratus menjelang suku kedua, manakala pertumbuhan eksport Indonesia melonjak daripada 1.37 peratus pada suku pertama kepada 8.28 peratus pada suku kedua.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan