SUKAN

PERAK FC TUMPU SAINGAN PIALA MALAYSIA, HARAP UNDIAN LEBIH BAIK

11/11/2024 02:22 PM

ISKANDAR PUTERI, 11 Nov (Bernama) -- Setelah mengalami kekalahan 0-5 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) malam tadi, Perak FC kini beralih tumpuan kepada saingan Piala Malaysia dijangka berlangsung bermula bulan ini.

Pengendali Perak FC Yusri Che Lah berkata berharap undian yang akan berlangsung hari ini, turut berpihak kepada skuad bimbingannya untuk melangkah lebih jauh dalam saingan berprestij itu.

“Saya mengharapkan laluan kami juga tidak berliku dan perlu bertemu lagi (JDT) di SSI. Piala Malaysia adalah piala berprestij dan sudah pasti setiap pasukan ingin sesuatu yang lebih baik dalam perjuangan tahun ini,” katanya pada sidang media selepas aksi menentang JDT malam tadi. 

Mengenai aksi malam tadi yang dicemari insiden kekasaran, Yusri berkata beliau menghormati keputusan pengadil Razlan Joffri Ali yang melayangkan kad kuning kepada pemain Perak FC Tommy Mawat dan penyerang JDT Arif Aiman Mohd Hanapi selepas kedua-duanya terlibat dalam pertelingkahan pada minit ke-84.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT Hector Bidoglio berkata beliau berpuas hati dengan persembahan pasukan yang sentiasa konsisten dalam perlawanan dihadapi.

“Pemain kekal komited kepada peranan masing-masing dan kegigihan mereka membuahkan hasil. Saya berpuas hati dengan setiap pemain dan kami akan terus bekerja keras selain fokus kepada perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pula,” katanya.

JDT dijadualkan berdepan kelab China, Shandong Taishan FC di Jinan Olympic Sports Center, Jinan, China pada 26 Nov untuk perlawanan kelima Kumpulan A saingan ACLE.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan