AM

PRUDENTIAL, UOB LANCAR PRUHERITAGE COVER KHUSUS BUAT WARGA EMAS

11/11/2024 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Prudential Malaysia Assurance Berhad (PAMB) dengan kerjasama UOB Malaysia telah melancarkan PRUHeritage Cover, satu penyelesaian legasi holistik yang direka untuk memastikan keselamatan kewangan dan merintis kemudahan untuk pelbagai pembayaran serta ganjaran untuk pemegang polisi selepas umur persaraan 61 tahun.

PAMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan ini untuk memastikan semua warga emas menerima penjagaan dan sokongan yang diperlukan sambil berasa yakin tentang legasi yang mereka tinggalkan untuk orang kesayangan mereka.

Memetik blog Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), PAMB menekankan peralihan demografi Malaysia ke arah masyarakat menua, dengan peratusan warga berumur 65 tahun ke atas dijangka meningkat daripada 8.1 peratus pada 2024 kepada 14.5 peratus menjelang 2040.

"Direka untuk menerima hingga 10 pembayaran tunai tahunan bagi keadaan tertentu seperti penyakit Parkinson atau Alzheimer dan pembayaran tunai sekali gus apabila polisi matang, PRUHeritage Cover menyediakan perlindungan yang terjamin sehingga umur 100 tahun dengan premium tetap sepanjang tempoh polisi.

“Ini supaya pelanggan dapat menikmati kehidupan yang bermakna dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika meniti usia emas sambil mengetahui bahawa mereka telah membina legasi untuk yang tersayang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan dengan Manfaat Penjagaan Warga Emas, pelanggan yang terjejas akan menerima pembayaran tahunan sebanyak lima peratus daripada jumlah asas diinsuranskan (BSA) mereka sehingga 10 tahun.

Sementara itu Booster Legasi menyediakan perlindungan tambahan pada umur 61 tahun, dengan peningkatan perlindungan sebanyak 20 peratus untuk menguruskan tekanan inflasi dengan lebih baik.

"Pelanggan juga menikmati ganjaran apabila mereka mencapai peringkat kehidupan penting. Apabila mencapai umur 61 tahun, mereka akan menerima pembayaran sekali sahaja hingga 10 peratus daripada BSA, dengan ciri Ganjaran Persaraan dan apabila mencapai umur 88 tahun, mereka menerima pembayaran tambahan sekali sahaja hingga 10 peratus daripada BSA.

"Apabila polisi matang pada umur 100 tahun, pelanggan akan menerima bayaran sekali beri sebanyak 100 peratus daripada BSA mereka,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengedaran Perkongsian PAMB Eric Wong berkata PRUHeritage Cover adalah satu lagi contoh kejayaan bagaimana syarikat itu memanfaatkan kerjasama untuk menangani peningkatan kebimbangan mengenai masyarakat menua.

“Selama 15 tahun kerjasama kukuh dengan UOB, kami telah melancarkan banyak penyelesaian untuk memenuhi keperluan perlindungan pelanggan. PRUHeritage Cover adalah contoh kejayaan kerjasama kami dalam menangani kebimbangan masyarakat menua.

“Pelanggan UOB boleh menggunakan pelbagai pembayaran apabila diperlukan. Ini adalah langkah ke arah masa depan yang lebih terjamin dan tiada lagi sebarang kebimbangan,” katanya.

Sementara itu Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia Elaine Fan berkata PRUHeritage adalah penyelesaian perlindungan yang akan membantu pelanggan melindungi kekayaan mereka sambil mengurangkan impak kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat dan jangka hayat yang lebih panjang.

“Tawaran ini adalah langkah ke hadapan kerana semakin ramai pelanggan berminat membina legasi untuk yang tersayang sambil mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat, lebih lama dan lebih baik,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai PRUHeritage Cover boleh didapati di www.uob.com.my/personal/insure/pre-retirement/pruheritage-cover.page.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan