GEORGE TOWN, 11 Nov (Bernama) -- Malaysia akan memantau dasar ekonomi baharu yang akan dikeluarkan oleh Kabinet yang bakal terbentuk di Amerika Syarikat (AS) susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden negara itu baru-baru ini.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata beliau berharap dasar yang bakal dikeluarkan oleh AS itu akan terus merancakkan ekonomi dunia.
“Malaysia mengucapkan tahniah kepada beliau yang memenangi pilihan raya AS baru-baru ini tetapi peralihan kuasa ini akan berlaku sehingga Januari tahun depan dan pada masa ini, beliau sedang membina Kabinetnya.
“Sementara itu, kita akan melihat dasar baharu yang akan keluar dari AS dan kita berharap ia akan terus merancakkan ekonomi dunia.
“Malaysia adalah ekonomi yang pelbagai dan kita yakin akan dapat terus menjana (pertumbuhan) yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Propelling Malaysia Forward Conference 2024 - Penang Series' anjuran Affin Bank di sini hari ini.
Katanya kedudukan ekonomi Malaysia masih di landasan yang tepat dan kerancakkan ekonomi masih kukuh dengan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mengalami pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Amir Hamzah berkata kedudukan inflasi juga terkawal iaitu 1.8 peratus dan kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus pada September.
“Usaha kerajaan untuk menarik pelabur telah berjaya dan memulakan aktiviti pelaburan dengan pembinaan kilang pembuatan, sekali gus merancakkan ekonomi.
“Kita berharap usaha ini akan terus membuahkan hasil dan ia (pertumbuhan) akan berterusan ke tahun depan,” katanya.
Mengenai aktiviti pemberian pinjaman wang oleh institusi bukan bank yang semakin berleluasa, beliau berkata kerajaan akan mengeluarkan akta baharu bagi mengawal selia perkara itu.
Katanya akta tersebut akan memudahkan kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenal pasti sebarang isu yang timbul daripada pinjaman yang dibuat oleh pihak berkenaan.
“Akta yang akan dikeluarkan ini untuk kita mengawal pemberian pinjaman, sistem beli sekarang bayar kemudian dan sebagainya.
“Ia lebih mudah untuk kita tengok atau mengenal pasti apa-apa isu yang timbul (daripada pemberian pinjaman oleh institusi bukan bank),” katanya.
-- BERNAMA