KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan beliau dari Lubnan Najib Mikati, dan Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Al-Khaled Al-Hamad Al-Mubarak Al-Sabah di Riyadh, Arab Saudi, petang ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini berkata pertemuan itu akan berlangsung sebelum Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam di ibu negara Arab Saudi, dengan agenda pertemuan dijangka menyentuh isu kekejaman rejim Zionis dan ketegangan di rantau Asia Barat.
PMO berkata dalam pertemuan empat mata dengan Najib itu, Perdana Menteri akan menyatakan sokongan Malaysia terhadap Lubnan yang kini berdepan kegilaan Israel.
“Malaysia juga terkesan secara langsung dengan ketegangan di Lubnan susulan insiden serangan Israel sehingga mengakibatkan enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) cedera di selatan negara berkenaan,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
Perdana Menteri juga bakal membincangkan cadangan mengusir Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam pertemuan dengan Putera Mahkota Kuwait pula, PMO berkata Anwar dijangka berbincang mengenai kerjasama Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) memandangkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bakal menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak berkenaan tahun hadapan.
Anwar tiba di Riyadh dari Kaherah, Mesir pagi ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam.
Beliau dijadualkan kembali ke Kaherah untuk meneruskan siri libat urus yang telah dirancang terlebih awal dengan delegasi Malaysia dan Mesir.
-- BERNAMA