Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Siemens Energy Pte Ltd dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini sedang meneroka integrasi tenaga hidrogen dengan loji jana kuasa berskala besar milik TNB.
Naib Presiden Kanan/Pengarah Urusan Siemens Energy Group Asia Pasifik Thorbjörn Fors berkata syarikat itu sedang menyiapkan kajian kebolehlaksanaan dan pelaburan yang diperlukan untuk dibentangkan kepada TNB dalam beberapa bulan akan datang.
Kedua-dua pihak telah memeterai memorandum persefahaman bagi melengkapkan loji jana kuasa TNB sedia ada dengan hidrogen, katanya.
"TNB mempunyai beberapa loji jana kuasa kitar padu berskala besar. Justeru itu, kerjasama dengan TNB ini adalah untuk memastikan loji jana kuasa berskala besar ini boleh menggunakan hidrogen pada masa depan.
"Kami sedang meneliti aset sedia ada TNB. Menerusi perbincangan dengan TNB, kita akan mulakan dengan satu dahulu, dan akan teruskan dengan yang lain dan membina infrastruktur di sekelilingnya," kata Fors kepada Bernama baru-baru ini.
Pada 2022 TNB merancang untuk menutup beberapa loji jana kuasa arang batu terpilih lebih awal daripada traikh tamat tempoh perjanjian pembelian tenaga bagi mempercepat matlamat kemampanan dan pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Ia melihat penutupan loji jana kuasa arang batu untuk meningkatkan nilai perusahaan dan peralihan portfolio TNB Power Generation Sdn Bhd (GenCo). TNB turut bercadang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi teknologi bagi menyediakan teknologi yang dapat membantu GenCo meneroka ke sumber yang lebih bersih seperti hidrogen.
Sementara itu, Fors berkata kerjasama itu bermatlamat untuk membantu TNB proses penyahkarbonan kemudahannya dengan beralih kepada bahan api yang lebih hijau.
"Pelaburan TNB ini adalah untuk memastikan loji jana kuasa ini boleh beroperasi dengan bahan api hijau.
"Di pihak kami adalah pelaburan teknologi. Kami melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk memastikan loji jana kuasa ini boleh beroperasi menggunakan hidrogen," katanya sambil menambah bahawa Siemens Energy sedang melihat kemungkinan berkembang ke Sarawak yang mempunyai bekalan kuasa hidro yang banyak.
Beliau berkata rancangan syarikat adalah untuk menggunakan lebih banyak kuasa hidro sebagai sumber, dan hidrogen dalam turbin gas atau mengeksport hidrogen ke negara lain.
Fors berkata kebanyakan loji jana kuasa di Malaysia menggunakan sama ada arang batu atau gas dan seharusnya perlu meneroka sumber lain yang lebih mampan.
"Kami di Siemens Energy telah keluar daripada perniagaan arang batu dan percaya gas adalah sebahagian daripada peralihan pada masa hadapan," katanya.
Fors berkata perbincangan mengenai grid kuasa ASEAN sedang mendapat momentum memandangkan perkongsian awam-swasta adalah penting untuk usaha penyahkarbonan di seluruh ASEAN.
“Kita boleh lihat lebih banyak (sumber) dibawa masuk ke Malaysia dan Singapura dari Laos dan Kemboja. Kami juga melihat aktiviti solar Semenanjung Malaysia dan perbincangan berkaitan tenaga hidro Sarawak sangat menjanjikan.
"Terdapat banyak momentum di sana tetapi kami memerlukan sokongan struktur dan infrastruktur kerajaan, dan ini tidak akan berlaku tanpa perkongsian awam-swasta," katanya.
-- BERNAMA