KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kadar jangka pendek antara bank ditutup stabil hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai sistem konvensional menyusut kepada RM37.60 bilion daripada RM38.19 bilion pada sesi pagi, manakala mudah tunai dana Islam menurun kepada RM17.7 bilion daripada RM19.50 bilion sebelumnya.
Awal hari ini, bank pusat itu menawarkan tiga tender repo berbalik.
BNM turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan murabahah komoditi bercagar bagi tempoh satu minggu, satu bulan dan tiga bulan.
Pada jam 4 petang, bank pusat menawarkan tender pasaran kewangan konvensional bernilai RM37.60 bilion dan tender pasaran kewangan murabahah bernilai RM17.70 bilion, kedua-duanya bagi tempoh matang satu hari.
Kadar semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) kekal 3.00 peratus pada 8 November.
-- BERNAMA