AM

XPORIA SAINS 2024 DIHARAP JADI PENCETUS MINAT, CUNGKIL BAKAT MUDA DALAM STEM

11/11/2024 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pusat Sains Negara (PSN) berharap program Xporia Sains 2024 yang dianjur baru-baru ini dapat mencetuskan minat dan mencungkil lebih banyak bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Pengarah Pusat Sains Negara Mohammad Fuad Rahman berkata program ini selaras visi PSN untuk menjadi peneraju pusat pembelajaran sains dan teknologi tidak formal yang dapat memacu rakyat Malaysia ke arah pemikiran kreatif dan inovatif.

“Kita sebagai pemudah cara sains, pendidikan yang dibawa PSN tidak terikat dengan cara formal seperti dalam bilik darjah.

“Dalam program ini misalnya, kita ada pelbagai aktiviti bersifat pendidikan dan hiburan yang sangat santai, antaranya pertandingan Si Cilik Adiwira yang memerlukan kanak-kanak berimaginasi dan kreatif dengan inspirasi sains dalam mencipta ikon adiwira mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang tiga hari penganjuran program Xporia 2024 bermula 9 Nov lepas, ia berjaya menarik hampir 10,000 pengunjung dari seluruh negara.

“Kita juga menerima pelbagai maklum balas positif daripada orang ramai, antaranya ibu bapa dan guru yang mahukan agar program ini diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Program Xporia Sains adalah acara kemuncak tahunan PSN sejak tahun 2011 bertujuan menyemarakkan budaya sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat melibatkan pembelajaran berasaskan pengalaman dan didik hibur.

Bertemakan “Stimulasikan Minda Anda”, antara aktiviti yang disediakan dalam program Xporia Sains 2024 adalah Zon I STEM, Cabaran Xplorasi Sains, Cabaran Rodaria Xporia, Ceriteria Sebalik Radas, Rahsia Alam Terrarium, Buih Sabun Gergasi, Petting Zoo dan penampilan khas maskot Didi & Friends.

Pengunjung, Nur Rashidah Zamzuri, 29, berkata aktiviti disediakan dalam program ini sangat berkesan untuk membangkitkan minat generasi muda, terutama dalam kalangan murid sekolah rendah.

“Pada usia itu, mereka lebih memahami dan ada banyak cara untuk menarik minat mereka, antara caranya adalah dengan mengadakan aktiviti yang menyeronokkan, namun masih mendidik, seperti yang ada di sini,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Syarah Saidun, 24, pula menyifatkan program itu sebagai satu platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada anak-anaknya, khususnya dalam bidang sains.

“Kita nak bantu mereka minat dan faham lebih tentang sains, supaya mereka boleh seronok belajar tentang perkara menarik yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya yang datang dari Kuantan, Pahang.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan