JENAYAH & MAHKAMAH

INDIVIDU RUGI LEBIH RM1.6 JUTA TERPEDAYA PELABURAN TIDAK WUJUD

11/11/2024 07:32 PM

SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) -- Seorang individu di Gombak kerugian lebih RM1.6 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud secara dalam talian, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata suspek yang memperdayakan mangsa melalui WeChat telah menghantar satu pautan dan meminta individu itu memuat turun aplikasi platform pelaburan serta menambah wang ke dalam akaun berkenaan.

“Beberapa hari selepas memindahkan wang ke dalam aplikasi platform itu, mangsa dapati pelaburan di aplikasi itu telah memperolehi keuntungan.

“Mangsa cuba mengeluarkan wang keuntungan tetapi gagal dan diberi pelbagai alasan seperti adanya bayaran cukai dan ‘fi pemindahan rentas sempadan’ bagi proses pengeluaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata individu itu juga diminta membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan dan mangsa seterusnya melakukan 44 transaksi kepada akaun suspek melibatkan empat akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM1.69 juta sebelum menyedari telah terpedaya apabila gagal mendapatkan keuntungan dijanjikan.

Susulan itu, Hussein berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan skim tawaran pelaburan dalam talian dan aplikasi pelaburan serta sentiasa membuat semakan pengesahan tentang kewujudan pelaburan saham dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan