KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Seramai 14,937 penerima bantuan kebajikan di seluruh negara telah mampu berdikari dan tidak lagi memerlukan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelbagai program dilaksanakan untuk membantu penerima bantuan termasuk program pemerkasaan dan transformasi serta pengurusan kewangan peribadi supaya mereka berusaha keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Berdasarkan statistik JKM, sehingga Ogos 2024 terdapat 543,086 penerima bantuan kebajikan di seluruh Malaysia dengan peruntukan yang dibelanjakan adalah RM1.73 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Nancy berkata 212 persatuan sukarela kebajikan (PSK) di seluruh negara yang memberikan perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada orang kurang upaya (OKU) telah menerima bantuan kewangan melalui JKM pada tahun ini.
Beliau berkata bantuan kewangan berjumlah RM18.3 juta itu memberikan manfaat kepada lebih 6,900 klien PSK.
“Bantuan ini bersifat sementara dan sebagai insentif bagi menyokong pihak yang menyediakan perkhidmatan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pihaknya memberikan tumpuan kepada empat strategi meliputi ekosistem perpaduan, eksplorasi rukun negara, inisiatif harmoni MADANI dan komuniti sosio budaya dalam memperkukuhkan keharmonian nasional pada tahun depan.
“Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengangkat tema ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’ yang mencerminkan komitmen kita untuk memperkukuhkan keharmonian nasional dengan menghargai kepelbagaian budaya, agama dan etnik yang wujud dalam negara kita,” katanya pada sesi penggulungan kementerian itu.
Selain itu, beliau berkata KPN juga telah menghasilkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 yang memberi panduan menyeluruh bagi membangunkan masyarakat lebih inklusif dan bersatu padu.
“Ia juga memberi fokus kepada usaha kerajaan dalam memperbaiki hubungan antara kaum, mempromosikan integrasi nasional dan menangani isu-isu perkauman melibatkan pelaksanaan program dan aktiviti rentas kementerian dan agensi,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA