PENAMPANG, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah kini sedang mengkaji semua undang-undang kecil dan ordinan termasuk yang berkaitan dengan pengurusan sisa, kata Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjadikan Sabah lebih bersih dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas melancarkan Mesin Hijau Bio di Sabah Credit Corporation (SCC), di sini hari ini.
Mesin berkenaan direka untuk memproses sejumlah besar sisa organik atau sisa makanan yang menukarkannya menjadi produk sampingan berharga seperti baja.
Dr Joachim berkata kerajaan Sabah melalui kementeriannya menyokong penuh penyelesaian inovatif berkenaan, kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih di negeri itu tetapi juga mempunyai faedah ekonomi.
“Mesin itu dihasilkan secara tempatan dan menyokong ekonomi Sabah,” katanya.
Dr Joachim juga menggalakkan pengusaha premis makanan dan pengeluar makanan untuk menggunakan teknologi berkenaan, kerana ia dapat membantu menyelesaikan masalah mereka dan pada masa sama menjadikan Sabah lebih bersih serta mampan untuk didiami.
Program berkenaan turut menyaksikan acara pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Redwin Technologies Sdn Bhd (pembekal tunggal produk), SCC (pemberi pembiayaan) dan Eco Greenpia Sdn Bhd (pengeluar Mesin Hijau Bio).
-- BERNAMA