KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Sebuah bangunan menempatkan stor farmasi Hospital Papar hangus terbakar, manakala bilik makmal kajian hanya terkena bahangan api dalam kejadian kira-kira 7 malam ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berhubung kejadian itu.
“Lokasi kejadian terletak sejauh empat kilometer dan jentera JBPM tiba kira-kira 7.08 malam bersama 14 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Papar dan dibantu anggota BBP Kimanis,” menurut kenyataan itu.
Operasi pemadaman masih dijalankan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Setakat ini kebakaran itu tidak melibatkan sebarang mangsa.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam hantaran menerusi platform X malam ini berkata semua sumber sedang ditumpukan untuk memastikan pesakit dan warga hospital berkenaan selamat.
Beliau berkata proses pengungsian yang perlu juga telah dilaksanakan dengan jayanya, termasuklah ke hospital berhampiran.
“Dukacita untuk saya maklumkan bahawa Hospital Papar, Sabah telah dilanda musibah kemalangan kebakaran... Saya juga telah dimaklumkan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Dzulkefly turut menasihati orang ramai untuk kekal tenang dan bersabar buat sementara waktu, selain memberi ruang untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan tugas mereka.
“Kemas kini seterusnya akan diberikan setelah siasatan dibuat dan segala pengesahan diperoleh daripada pihak berwajib. Sama-sama kita doakan keselamatan dan kesihatan semua di sana,” katanya.
-- BERNAMA