JENAYAH & MAHKAMAH

RANGKA PESAWAT DALAM VIDEO, GAMBAR TULAR BUKAN MILIK TUDM

11/11/2024 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menafikan rangka pesawat yang dipaparkan dalam video dan gambar tular menerusi media sosial adalah miliknya.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan bahawa semua pesawat milik pasukan itu berada dalam pegangan dan diuruskan secara sistematik, selamat dan bersesuaian dengan pengoperasian TUDM. 

“Susulan video dan gambar beberapa rangka pesawat (yang dikatakan jenis F-5E buatan Amerika Syarikat) yang tular di media sosial (Facebook, TikTok dan platform X), TUDM ingin menegaskan bahawa pesawat-pesawat tersebut bukan milik TUDM. 

“Pihak TUDM menyeru agar tidak dilanjutkan sebarang andaian yang boleh menimbulkan spekulasi atau persepsi yang tidak benar berhubung perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi 10 saat dan gambar memaparkan beberapa pesawat pejuang yang dipercayai berada di sebuah pelabuhan.

– BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan