AM

KAD PENGENALAN SEBAGAI MEKANISME SUBSIDI RON95 ANTARA TUMPUAN DEWAN RAKYAT

12/11/2024 08:15 AM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 yang terdedah kepada masalah antaranya kerosakan cip kad pengenalan, menjadi antara isu tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu dikemukakan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) kepada Menteri Ekonomi pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Selain itu, Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan langkah diambil terhadap impak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi  biodiversiti kawasan hutan simpan sehingga menyebabkan berlakunya konflik antara hidupan liar dengan manusia, serta langkah membantu penduduk terkesan dengan ancaman hidupan liar yang memasuki kampung.

Pada sesi soal jawab pula, Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mahu Menteri Luar menyatakan pendirian semasa kerajaan serta jenis bantuan kemanusiaan yang telah dihulurkan dan kos diperuntukkan pada 2023-2024 bagi krisis kemanusiaan Gaza.

Turut tersenarai, soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan kerajaan untuk menoktahkan isu pensijilan halal terhadap restoran serta syarikat makanan yang telah menjadi polemik dalam kalangan masyarakat dan dibimbangi boleh menganggu gugat perpaduan antara kaum dalam negara. 

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar oleh menteri daripada setiap kementerian terlibat. 

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan