AM

PEMIMPIN ARAB, ISLAM BERHIMPUN DI SAUDI, HADIRI SIDANG TERGEMPAR TANGANI KRISIS TIMUR TENGAH

12/11/2024 08:20 AM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Para pemimpin Arab dan Islam mula tiba di Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam pada Isnin untuk menangani pencerobohan Israel yang terus berleluasa di wilayah Palestin dan Lubnan.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas, mengetuai delegasinya tiba di Riyadh pada Ahad.

Abbas diiringi beberapa pegawai kanan Palestin termasuk Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Hussein Sheikh, Perdana Menteri dan Menteri Luar Mohammad Mustafa, Penasihat Diplomatik kepada presiden Majdi Khalidi, serta Duta Palestin ke Arab Saudi Mazen Ghuneim, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut tiba di Riyadh pada Isnin.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid dari Kaherah, Mesir.

Anwar merakamkan penghargaan Malaysia kepada Arab Saudi atas kepimpinannya dalam menganjurkan sidang kemuncak ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata bahawa sidang kemuncak ini amat kritikal bagi menangani segera keganasan yang kian memuncak dan serangan kejam rejim Zionis ke atas rakyat Palestin dan Lubnan.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif yang turut tiba di Riyadh menggesa "pembunuhan beramai-ramai di Gaza ditamatkan serta-merta" dan "penamatan segera tindakan agresif Israel di rantau ini," menurut Kementerian Luar Pakistan.

Beberapa pemimpin Arab dan Islam yang lain, termasuk Perdana Menteri Maghribi Aziz Akhannouch, Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud, Presiden Senegal Macky Sall, Presiden Mauritania Mohamed Ould Cheikh Ghazouani, dan Presiden Kyrgyzstan Sadyr Japarov turut tiba bagi menghadiri sidang kemuncak itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Iran Masoud Pezeshkian menerusi panggilan telefon dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, memaklumkan bahawa beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat kerana jadual yang padat.

Namun, Naib Presiden Mohammad Reza Aref akan mewakili Iran dan menyuarakan keyakinan bahawa sidang kemuncak itu akan membuahkan hasil yang 'bermakna' dalam usaha menghentikan tindakan rejim Zionis di Gaza dan Lubnan, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).

Pezeshkian turut memuji kepimpinan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dalam menganjurkan pertemuan penting ini.

Arab Saudi menganjurkan sidang tergempar Sidang Kemuncak Arab-Islam pada Isnin bagi menangani keganasan yang semakin memuncak di Palestin dan Lubnan, menurut Agensi Berita Saudi (SPA).

Keutamaan sidang ini termasuk menghentikan keganasan, melindungi orang awam, memberikan sokongan kepada rakyat Palestin dan Lubnan, menyatukan pendirian, serta memberi tekanan kepada komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas demi mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan.

Mesyuarat yang sama telah diadakan di Riyadh pada 11 Nov tahun lepas.

Sidang kemuncak tahun lepas menugaskan menteri luar Arab Saudi, Jordan, Mesir, Qatar, Türkiye, Indonesia, Nigeria, Palestin, dan mana-mana negara lain yang berminat, bersama-sama dengan setiausaha agung Liga Arab dan OIC, untuk memulakan tindakan antarabangsa segera yang bertujuan untuk menghentikan perang ke atas Gaza dan tekanan untuk proses politik yang serius untuk mencapai keamanan yang berkekalan dan menyeluruh berdasarkan prinsip yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan