KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan memberi perhatian serius terhadap kes buli yang telah beberapa kali dilaporkan berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Memandang serius kes buli terbaharu yang mengakibatkan seorang penuntut mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang, Seri Paduka Baginda bertitah budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan.
"Ia bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar, tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini," titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran yang dikongsi di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Menurut hantaran itu, Seri Paduka Baginda juga berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Istana Negara, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa.
Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa dalam pasukan tentera, latihan keras adalah perkara biasa bertujuan untuk membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat, seperti pernah dilalui Seri Paduka Baginda sendiri semasa menjalani latihan ketenteraan.
“Namun, ini bukan bermakna latihan itu boleh sampai ke tahap buli atau menyeksa seseorang sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di ALK UPNM,” titah Seri Paduka Baginda.
Ahad lepas, polis mengesahkan sedang menyiasat kejadian yang membabitkan seorang mahasiswa UPNM berusia 19 tahun yang disyaki dipijak sehingga cedera parah di rusuk dan belakang badan oleh seorang penuntut senior tahun tiga universiti berkenaan.
Bulan lepas, satu insiden lain pula melibatkan kes buli di universiti yang sama, dengan seorang pegawai kadet ALK UPNM telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas.
-- BERNAMA