KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menerima lebih 335,000 permohonan bagi pendaftaran harta intelek (IP) dari 2019 hingga tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MyIPO Sheikh Arifin Sheikh Mohd Noor berkata daripada jumlah itu, 211,000 atau 60 peratus pemohon adalah dari luar negara, manakala bakinya dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata pihaknya sedang merancang promosi dan pemasaran untuk memastikan pemohon dalam kalangan rakyat tempatan dapat diseimbangkan dengan pemohon luar negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“MyIPO sedang melaksanakan pelbagai promosi dan pemasaran bagi memastikan sekurang-kurangnya kita mendapat nisbah 50-50 (pemohon dalam dan luar negara) dalam masa yang terdekat.
“Kita juga menyasarkan untuk bekerjasama atau perkongsian pintar dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya usahawan-usahawan tempatan tahu di mana nak daftar IP mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan program National Training Seminar on IP Valuation 2024 di Menara MyIPO di sini hari ini.
Selain itu, Sheikh Arifin berkata MyIPO akan bekerjasama dengan Bank Negara dan institusi kewangan tempatan untuk menjadikan harta intelek sebagai satu daripada instrumen yang boleh dijadikan cagaran.
“Hal ini berupaya membuka peluang pembiayaan yang lebih besar kepada syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang sering menghadapi kesulitan dalam mendapatkan pembiayaan bagi perkembangan perniagaan mereka.
“Saya yakin jika harta intelek diterima sebagai cagaran, ia akan membuka peluang baru untuk pembiayaan serta menyokong lebih banyak usaha inovatif di Malaysia sekali gus memperkukuh peranan Malaysia menjadi peneraju serantau dalam penggunaan harta intelek bagi tujuan pembangunan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata pengenalan dan pengiktirafan IP sebagai aset yang bernilai akan membuka jalan bagi syarikat tempatan terus berkembang, bersaing di pasaran global dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.
-- BERNAMA